Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Apa khabar semua? semoga sentiasa dalam keadaan sejahtera,insyaAllah.Kali ini,saya rasa terpanggil untuk menyentuh satu isu yang bukan asing lagi berlaku dalam dunia serba moden hari ini, iaitu "Maksiat".
Dari Ibn `Umar r.a.: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perkataan maksiat adalah istilah yang telah diguna pakai di dalam di dalam syara'. Ianya berasal dari kalimat عصى-يعصي iaitu derhaka. Dari segi istilahnya pula, kata Abu al-Baqa al-Kafawi: Az-Zanbu dan al-Ma'siyah kedua-duanya nama bagi perbuatan yang diharamkan untuk dilakukan oleh seseorang dengan hasrat melakukan perbuatan haram berkenaan.
Dalam kata lain perkataan maksiat atau ma'siyah bermaksud melakukan sesuatu perbuatan yang haram dengan kerelaan sedangkan disedari ianya adalah sesuatu yang haram di sisi Allah.
Cuba lihat di sekeliling kita.Adakah wujud maksiat? Apakah peranan kita? Apa tindakan kita? sedih sungguh rasanya,kalau kita tak mampu berbuat apa-apa.Rasulullah pernah bersabda,
Barangsiapa di antara kamu melihat kemunkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan lisannya, dan apabila tidak mampu maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.
(Hadits riwayat Imam Muslim).
Bukankah kita semua ada tangan,ada lisan,dan ada hati? jadi sama2 lah kita memerangi maksiat.Dan ingatlah,tugas amar makruf,Nahi mungkar adalah tanggungjawab setiap muslim.yaAllah,kuatkan hati kami untuk menegakkan ajaranMu.Ameen....
Saya ada terbaca suatu artikel menarik berkaitan maksiat di facebook.Terima kasih kepada
tuan empunya (Masmuslimah Yusof) kerana berkongsi.Semoga kisah ini bermanfaat buat semua,dan yang lebih penting terkesan di hati,insyaAllah.
************************
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?”
“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham. “Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”
“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?”
“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”
Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang kelima?” Ibrahim pun menjawab, “Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.” Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.
*********************************
p/s: kisah yang di share dari notes Masmuslimah Yusof, http://www.facebook.com/home.php?sk=lf#!/note.php?note_id=136342966383654&id=100000599600225&ref=mf
Jadi,mampukah syarat2 itu dipenuhi? Sudah pasti tiada siapa yang mampu memenuhinya.Oleh itu,katakan TIDAK pada MAKSIAT !!
Mungkin hari ini saya ternampak anda melakukan maksiat,insyaAllah saya cuba tegur dan betulkan.Tapi mungkin esok atau bila2 saja,saya pula melakukan maksiat (nauzubillah), tegur2lah...lihat ayat Allah dalam surah Al Asr,103:1-3
Imam Yusuf Qaradawi berkata: Tiada sekecil-kecil insan tidak dapat memberi nasihat dan tiada sebesar-besar insan tidak dapat menerima nasihat.
Wallahua'lam...