Monday, August 20, 2012

Pelangi Setelah Hujan

Awan Yang Menangis

Hujan lebat turun membasahi bumi. Sehingga kini, masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Sudah lama juga hujan tidak turun selebat itu. Mana tidaknya, sebelum ni cuaca sangat panas.

Kakak baru sahaja usai menunaikan solat Zohor. Sebelum solat, dia ada berjanji dengan Adik, untuk membancuh air Milo sejuk pada asalnya. Tapi dalam keadaan hujan lebat yang sejuk ini, rasanya kalau bancuh air Milo panas lagi umphh.

Selepas makan tengahari, Adik terus duduk berteleku di tepi tingkap memerhatikan titis-titis hujan yang turun. Di pangkuannya, Boboi si kucing kesayangan Adik sudah terlena. Mungkin selesa dek kehangatan belaian Adik, nak pula tengah sejuk sekarang ini.

"Adik, nak air Milo tak? Kakak bancuh yang panas ye. Sejuk sekarang ni."

"Kakak, tak apalah. Adik tak nak minum air Milo. Adik nak Kakak duduk sebelah Adik, boleh?" pinta Adik sambil menepuk lantai untuk duduk di sebelahnya. Pasti ada sesuatu yang Adik nak tanya ni, hati Kakak berbisik.

Kakak duduk melunjurkan kaki, kemudian mengambil Boboi dari pangkuan Adik dibawa ke pangkuannya. Terdengar bebelan kecil Boboi, mungkin kerana tidurnya yang lena diganggu. Tak lama lepas tu, Boboi tertidur semula.

"Kakak, dah lama kan hujan tak turun?"

"Yep. Alhamdulillah. Allah turunkan juga hujan. Rasa segar sikit dapat bau hujan. Hehe."

"Ha'a Kak. Tengok tu. Katak tu lompat-lompat kat laman rumah. Mesti dia suka hujan turun. Boleh main hujan."

Oh, itulah rupanya yang Adik ralit sangat duduk di tepi tingkap ini. Ralit tengok katak rupanya.

"Kakak, Adik pernah dengar, kalau hujan turun, maksudnya awan tengah menangis ye Kak?"

Kakak tersenyum mendengar soalan Adik. Alhamdulillah, dia dikurniakan seorang Adik yang sangat cerdas. Sudah menjadi kebiasaan, kalau ada apa-apa sahaja yang bermain di mindanya, Adik akan terus bertanya, walaupun ada masanya soalan yang diajukan itu, kedengaran tidak logik juga.

"Oh, awan tu menangis, sebab kena pikul beban air yang sangat berat. Apabila dah tak terlarat nak pikul, awan pun mencurahkan semua air itu turun ke bumi. Nak pula bumi pun masa tu, sangat-sangat memerlukan air hujan untuk menyegarkan balik semua yang layu kerana berpanas."

Adik sudah mula memusingkan badannya menghadap Kakak. Petanda ingin mendengar lagi penjelasan dengan lebih mendalam.

"Kalau ikut proses alam, mula-mula awan akan sedut air dekat sungai sikit, laut sikit, kolam sikit, untuk dikumpulkan. Tak lama lepas tu, awan tu pun akan membesar sedikit demi sedikit, ikut pada banyak mana air yang dia dapat sedut. Dan tak lama lepas tu, apabila awan tu dah rasa berat sangat, dah tak larat dah ni, barulah awan lepaskan air tu turun sebagai hujan. Itupun semua, dengan izin Allah."

Kakak terpaksa menukar perkataan 'sejat' kepada 'sedut', bagi memudahkan si Adik membayangkan apa yang diceritakan itu.

"Kakak, tapi kan, Adik tak nampak pun air kena sedut...."

Meletus tawa si Kakak. Haih Adik. Adik mula membuat muka tak faham.

"Adik, tak semua proses ni kita akan nampak. Itu semua sudah menjadi kuasa Allah, bagaimana air itu disedut ke awan. Macam ni, Adik pernah tengok kan, air dekat bekas Boboi. Kadang-kadang, Boboi tak minum, air dah tinggal sedikit. Itu maknanya air Boboi dah kena sedut ke udara, nak dibawa ke awan. Memang Adik tak nampak air tu kena sedut, tapi Adik tahu, yang air dalam bekas Boboi semakin kurang. Nak pula kalau hari panas macam semalam. Lagi banyak air yang kena sedut apabila cuaca panas."

"Kakak, kalau orang menangis kan, maknanya, mata dia pun boleh sedut air macam awan ye?"

Kakak menarik nafas panjang dan dalam. Soalan yang Adik tanya kali ini, bukannya soalan yang susahpun untuk dijawab. Cuma Kakak tak pasti, seandainya Adik dapat memahami jawapan yang bakal dia berikan itu.

"Macam ni. Manusia menangis, bukan macam tu ceritanya. Manusia ni unik Adik. Allah ciptakan manusia, dengan seketul darah, yang Allah gelarkan sebagai hati. Dan hati tu, secara fitrahnya, sangat lembut. Lembut sehingga mampu untuk menyerap, dan menyimpan segala beban dan kesusahan yang dihadapinya, semasa menjalani kehidupan sehariannya di dunia ni. Dan hati itu, ada tahap kekuatannya untuk bertahan memikul beban dalamnya. Sampai satu masa, hati itu akan melepaskan semua apa yang disimpannya selama ini, melalui tangisan. Tangisan itu bukannya bukti yang hati itu lemah kerana terlalu lembut, tapi ianya bukti yang hati itu sudah lama bertahan untuk menjadi kuat dalam memikul semua beban itu. Macam awan, apabila terlalu berat, akan turun juga hujan.

Tapi, apabila seseorang manusia itu meluahkan semua apa yang dirasa dalam hatinya melalui tangisan, InsyaAllah, dia akan merasa suatu kelegaan, dan juga keringanan di hatinya. Sama macam awan, lepas hujan turun, dia pun akan menjadi kembali ringan, dan bersedia untuk menyedut balik air untuk dikumpulkan.

Manusia pun, selepas menangis, dia akan menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan setiap kesusahan yang dihadapi. Hatinya yang lembut itu tetap akan terus lembut. Namun, daya kekuatannya untuk menahan beban di dalamnya akan bertambah, membuatkan dirinya lebih kuat dan tabah."

Kakaknya memandang mata Adiknya. Khusyu' si Adik mendengar, tapi, tak tahulah kalau Adiknya faham atau tidak mesej yang disampaikan itu.

"Jadikan Kak, kalau bumi, awan itu macam hati manusia. Sama juga manusia, hati dia tu macam awan. Sama-sama akan menyedut, tapi lain-lain apa yang disedut. Dan dua-dua akan lepaskan apa yang disedut itu, melalui air. Kalau awan, melalui hujan. Kalau manusia lak, menangis. Tapi kan Kak....."

Si Kakak menanti sambungan kata-kata Adiknya.

"Kenapa Kakak menangis ye setiap kali tolong Ibu masak? Memang tolong Ibu masak tu susah ye?"

Tergelak besar Kakak. Dan kali ini, gelak tawa Kakak disambut oleh gelak si Ibu.

"Tu namanya bukan menangis Adik. Kakak awak tu tak tahan dengan bawang. Setiap kali kupas bawang, berair mata. Asal kupas bawang, berair mata." Sambut si Ibu, dengan membawa dua mug berisi air Milo panas.

"Adik. Adik. Nanti Adik besar sikit tolonglah Ibu kupas bawang kat dapur. Rasa macam mana pedihnya mata masa kupas bawang. Yang tu cerita dia lain pula Adik. Nanti masa Kakak tolong Ibu kat dapur, Kakak cerita kenapa Kakak berair mata masa kupas bawang.

Ibu, terima kasih untuk air Milo panas. Kakak baru terfikir nak bancuh tadi. Sekali Adik tahan Kakak kat sini."

"Tak apa. Kebetulan Ibu pun ralit dengar cerita Kakak kat Adik tadi. Ni Adik faham tak apa yang Kakak cerita panjang dari tadi?"

"Errmmm. Ada yang faham. Ada yang tak. Tak apa, yang Adik tahu, orang yang menangis tu bukan orang yang lemah. Hehe."

"InsyaAllah, sampai masanya nanti, Adik akan faham. Apabila Adik dah besar macam Kakak, Adik akan faham dengan sendirinya setiap apa yang Kakak ceritakan ni," pesan Ibu kepada Adik.

Adik mengangguk. Milo panas mula dihirup perlahan. Alhamdulillah, nikmat rasanya dapat minum Milo panas waktu-waktu macam ni.

Hujan yang lebat tadi sudah berhenti. Matahari mula memancarkan semula cahayanya. Dan di balik cahaya itu,

"Kakak, tengok tu, ada pelangi."

Adik menunjukkan pelangi kepada Kakak. Lebar senyuman Adik dapat menyaksikan pelangi yang jarang sekali dapat dilihat.

"Kakak, masa hujan, kat luar nampak kelabu. Mendung je. Tapi apabila hujan dah berhenti, matahari keluar sekali dengan pelangi yang ada tujuh warna. Cantikkan alam selepas hujan."

Dengan penuh ceria Adiknya menyampaikan apa yang ada dalam fikirannya. Kakak tersenyum.

Subhanallah. Tidak Allah menciptakan sesuatu itu, tanpa sebabnya. Setiap sesuatu ciptaan itu mempunyai peranannya yang telah ditetapkan Allah. Ada pelangi setelah awan menangis.

"Moga Adik membesar menjadi muslimah yang tabah. Muslimah yang kuat. Muslimah yang tetap lembut hatinya. InsyaAllah. Moga Allah sentiasa melindungimu, wahai Adikku sayang."


- Artikel iluvislam.com

Menanti pelangi setelah hujan, insyaAllah bi iznillah :)

Tuesday, August 14, 2012

Torfatu 'aini...

Janganlah ENGKAU Serahkan Aku Kepada Diriku Sendiri…

يا حي يا قيوم

Wahai Yang Maha Hidup, wahai Yang Maha Berdiri Sendiri

برحمتك استغث

Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan

اصلح لي شأني كله

Perbaikilah untukku urusan semuanya

ولا تكلني الى نفسي

Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri

طرفة عين

Walau sekelip mata



Diriwayatkan bahawa do`a di atas telah diajarkan oleh Rasulullah sallAllahu `alahi wasallam kepada puterinya, Fatimah radhiAllahu `anha. (Riwayat Nasa’i, al-Bazzar & al-Hakim, dinilai hasan oleh Nasiruddin al-Albani)

Do`a ini amat besar maknanya. Ia menggambarkan kebergantungan dan pengharapan yang amat tinggi dari sang makhluq kepada Khaliqnya. Amalkanlah do`a ini dan hayatilah maksudnya. Nescaya akan datang rasa sakinah dan tawakkal yang tinggi di dalam diri kita semua, insyaALLAH.

- www.muzir.wordpress.com