Monday, September 20, 2010

Khas utk rakan2 perubatan (from Dr. Har)

Salam Syawal,

Khusus buat:

· Anak-anak yang bergelar pelajar perubatan ( di mana jua anda berada)
· Ibu dan ayah kepada anak-anak di atas

Sedikit pesanan ini dinukilkan oleh seorang yang pernah menjadi pelajar perubatan ( 1986-1991), sudah bergelar doktor selama lebih 19 tahun, menjadi pakar O&G dan pendidik kepada ribuan pelajar perubatan selama 13 tahun. Namun belum berpeluang menjadi ibu kepada seorang pelajar perubatan lagi setakat ini.

Anak-anakku,

Kalian sebenarnya bertuah dipilih Allah SWT mempelajari satu bidang yang amat besar faedah dan manfaatnya buat manusia dan dunia. Apapun yang mendorong kalian membuat keputusan menjadikan bidang ini pilihan, kalian sudah sampai di sini! Betapa ramai rakan kalian yang mengidamkan kerusi yang kalian duduki sekarang ini.

Harapnya, dorongan itu bukanlah semata-mata mahu mencuba nasib, memenuhi hajat dan hasrat kedua ibu bapa dan keluarga yang mahu seorang bergelar `Doktor’ dalam salasilah keturunan, ataupun ingin sentiasa bersama dgn rakan karib lain yang kebetulan juga mendapat tawaran yang sama!

Melihat betapa berlumba-lumba kalian merebut tempat di sekolah perubatan, rasanya seperti ada kempen ` Satu Keluarga Seorang Doktor’ lagaknya.

Jangan kalian terkejut nanti – dengan realiti pengorbanan yang mesti kalian lalui.

Perubatan adalah satu lapangan yang perlukan komitmen pembelajaran sepanjang hayat. Kalian sendiri yang perlu mencetus keghairahan mahu menuntut ilmu, bukannya hanya berharap dan bergantung sepenuhnya kepada tenaga pendidik yang menunjuk ajar. Kalian akan mulai mendengar perkataan ` self-directed learning- SDL’, student-centred education, life-long learning, community-based learning, inter-professional learning dll.

Pengajar kalian bukan hanya professor dan pensyarah perubatan, malahan yang bergelar pesakit itulah yang paling banyak mengajar dan memberi tunjuk ajar. Para jururawat adalah mentor yang paling berpengalaman dan perlu diberi penghormatan.

Yang paling utama, akhlak kalian – menjadi pembeza utama antara pengamal perubatan yang mulia dan doktor yang angkuh. Bertuahlah bagi kalian yang sememangnya sudah berbekal dgn didikan sempurna, penuh budi bahasa, tata tertib dan sopan santun yang tinggi semenjak dari rumah lagi. Malanglah kalian yang serba kekurangan dalam aspek ini, sekalipun kalian begitu cerdas mengumpul deretan `A+’ dalam transkrip keputusan peperiksaan saban semester.

Untuk para ibu dan ayah kepada anak-anak yang bergelar pelajar perubatan,

Mohon dipastikan kalian sudah menyediakan anak-anak kalian dengan baik dan sempurna – terutamanya dalam aspek rohaniah dan akhlaqiah mereka. Mereka akan menjadi doktor perubatan – bukan calang-calang profesyen! Pastikan mereka menjadi pengamal perubatan yang tawadhuk dan sentiasa berhubung erat dengn Rabb.. Selitkan doa yang tidak pernah kunjung padam setiap masa dan ketika, moga Allah SWT memberi bimbinganNya buat anak-anak ini.

Sekiranya kalianlah menjadi SEBAB utama anak-anak berada di sekolah perubatan hari ini, sedangkan itu bukan keinginan dan minat mereka sendiri, bersedialah untuk meminta maaf kepada mereka – terutamanya jika mereka akan berhadapan dgn kesukaran dan keperitan memenuhi hajat dan cita-cita kalian itu. Sokong dan dokonglah mereka sehingga ke akhir nanti – kerana cubaan dan dugaan yang perlu anak-anak ini hadapi bukanlah setakat semasa dalam latihan sahaja, malahan yang lebih mencabar adalah ketika terpikul di bahu mereka tanggungjawab dan amanah yang berat apabila bergelar doktor nanti!

InsyaAllah, kalian akan sentiasa dilindungi Allah SWT dari segala bencana selagi mana penggantungan hanyalah kepada Allah semata-mata.

Dr.Har

Thursday, September 16, 2010

What after Ramadhan?

Ma ba'da Ramadhan
oleh: Dr Jamal Nasier

Tidak dinafikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan penuh keagungan dengan bermacam kelebihan di dalamnya. Ini kerana umat Islam memperolehi kebahagiaan di saat umat mendekatkan diri dengan Allah seperti bulan yang mulia ini setiap tahun melimpahkan keberkatan, kebaikan, kerahmatan, keampunan dan pembebasan dari api neraka, satu saat yang dinantikan golongan tua dan muda, lelaki dan perempuan, golongan kaya dan miskin di mana Allah campakkan perasaan itu di lubuk hati semua para mukminin termasuk hati kanak-kanak yang tidak mengenal erti puasa mahupun qiam.


Ramadhan adalah bulan yang membangunkan jiwa dan salah satu rukun Islam yang telah dipilih oleh Allah sebagai pintu-pintu Islam yang besar dan sudut-sudut Islam yang luas dan Allah jadikannya sebagai salah tiang kepada Islam.


Oleh itu, bulan Ramadhan bukanlah semata-mata untuk memperolehi kebahagiaan ketika berada dibulan ini dan merasai kesedihan ketika berpisah dengannya kemudian menunggu kedatangan Ramadhan pada tahun yang akan datang. Bulan Ramadhan adalah umpama salah satu tiang yang menampung Islam. Cuba bayangkan bersama saya, jikalau tiang-tiang ini tidak ada atau bayangkan tiang-tiang ini dikhianati atau bayangkan tiang-tiang ini berlaku kecacatan semasa pembinaannya atau kecacatan semasa pemasangannya, apa yang akan terjadi? Pastilah binaan keseluruhannya akan runtuh walaupun hanya berpunca dari satu tiang sahaja. Benar..binaan yang besar akan runtuh seluruhnya!


Seandainya kita mahukan sebuah binaan yang kuat lagi kukuh bagi umat ini maka asas binaannya mestilah kukuh. Kemudian tugasan selepas Ramadhan mestilah sampai tahap terbaik hingga mampu memikul amanah Islam yang agung lagi hebat.


Dengan keazaman, pemikiran dan dari titik tolak ini kita ingin hidup selepas Ramadhan dan kita ingin supaya kita berkemampuan untuk memikul amanah yang agung dan besar ini. Justeru isu ini bukan sekadar isu puasa sahaja tetapi isu pembinaan umat atau dikatakan pembinaan sebaik-baik umat: kita bawakan isu terbiyah kerana barisan muslim perlu kepada elemen tarbiyah yang lebih khusus. Ramadhan datang dengan fungsi ini kerana seorang muslim tidak akan mampu untuk berjihad, berjuang atau berdiri teguh melainkan jika mengambil elemen tarbiyah secara seimbang. Bulan Ramadhan mendidik kita dengan tujuh jenis akhlak; antaranya mendidik kita menyahut perintah Allah dengan sempurna tanpa melihat hikmat di sebaliknya, begitu juga Ramadhan mendidik kita supaya mengawal syahwat yang cenderung kepada sesuatu yang tidak diredhai Allah, akhlak mendidik kita supaya mengawal perasaan dan keupayaan menahan marah, mendidik kita untuk menafkahkan pada jalan Allah. Begitu juga Ramadhan mendidik kita kepada sensitiviti yang mulia iaitu sensitiviti kesatuan, persaudaraan dan solidarity antara semua umat Islam di seluruh dunia dan sensitiviti kepada penderitaan dan permasalahan orang lain.


Fakta terakhir bahawa Ramadhan mendidik kita satu perkara yang sangat penting. Perkara ini adalah intipati ibadah puasa yang menjadi tujuan utama puasa iaitu Ramadhan mendidik kita kepada “takwa”.


Justeru kita wajib menghayati dan menghidupkan amalan selepas Ramadhan untuk membangunkan diri kita dan umat kita yang baru. Sensitiviti yang memuliakan dan mengutamakan Islam adalah antara elemen penting kepada kemenangan dan keteguhan Islam. Umat yang memiliki sensitiviti kepada selain Islam menyebabkan umat tidak akan bangun dan tidak akan menuju puncak ketinggian.


Beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada Ramadhan

  1. Sentiasa mencintai ilmu dan kefahaman agama dengan menggemblingkan tenaga untuknya dan mengambil ilmu ini daripada sumber yang tulin: Kitab Allah dan sunnah Rasulullah saw, sirah dan petunjuknya berpandukan pedoman yang ditinggalkan oleh ulamak terdahulu berupa pusaka ilmu dan ketamadunan yang masih menjadi tumpuan manusia dan kekal begitu sehingga hari Kiamat.
  2. Sentiasa menjaga hubungan dengan Allah melalui puasa sunat, qiamullail, zikir, tilawah al-Quran, muhasabah diri, bertaubat, beristighfar, sedekah dan lain-lain lagi.
  3. Sentiasa menjaga akhlak dan budipekerti mulia seperti berbuat baik dengan ibubapa, menjaga silaturrahim, mengelakkan diri dari menyusahkan orang lain dalam apa jua bentuk, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain, berlaku ihsan iaitu melakukan yang terbaik kerana takutkan Allah, mengharapkan pahalaNya dan menjauhkan diripada perbuatan jahat yang menghasilkan perbuatan jahat yang lain, tetapi menjadikan perbuatan jahat diganti dengan perbuatan baik.
  4. Sentiasa menyucikan hati daripada sifat iri hati, hasad dengki, khianat, menipu, was was, bermusuh dan membenci terutama seperti sabda nabi:
    “Berpuasalah pada bulan kesabaran dan tiga hari setiap bulan akan menghapuskan dosa dan amalkanlah harru sodr”. (Ibn Hibban)
    Menurut ulamak harru sodr ialah perbuatan yang tidak ada penipuan, was was, bengis, iri hati, hasad dengki, marah. Inilah perbuatan yang dapat menghindarkan dari perpecahan dan persengketaan.
  5. Sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah supaya mengurniakan kita sifat ikhlas, jujur, sabar, melakukan usaha menasihati dan mengajak manusia ke jalan yang benar dan terpuji, menyatukan barisan dan berterusan dengannya tanpa terputus.
  6. Sentiasa menjaga ahli keluarga, anak-anak dan kerabat kita di mana kita bergaul, menyantuni dan memberi makanan ruh, jiwa dan akal mereka supaya sentiasa berada di atas petunjuk Allah dan RasulNya juga mengambil pengalaman dan pengajaran daripada murabbi yang benar.
  7. Sentiasa mendedahkan konspirasi dan perancangan musuh supaya masyarakat awam tidak tertipu dan berusaha menggagalkan rancangan jahat ini melalui apa jua cara yang terdaya selagi tidak bertentangan prinsip syarak yang suci.


Oleh itu kita hendaklah sentiasa melaksanakan semua di atas selepas Ramadhan tahun ini seperti yang kita telah tempuhi dan rasainya di bulan Ramadhan.

Beberapa perkara yang patut kita berikan perhatian

  1. Berwaspada dari syaitan kerana setelah satu bulan dengan ibadah yang panjang selepas berakhir Ramadhan dan hari pertama syawal akan berlaku kemerosotan amalan, tetapi pada ketika berlaku kemerosotan ini syaitan sedikitpun tidak menolong kamu bahkan menambahkan lagi kemerosotan itu.
  2. Tidak logic kita meninggalkan semua ini..kamu jatuh dari cita-cita tertinggi kerana Allah telah mengurniakan nikmat kepada kita dengan ibadah yang panjang di bulan Ramadhan dan selepas Ramadhan. Kita telah mengetahui kesan ibadah dan kita telah merasai makanan iman, kemanisan ibadah dan kelazatan munajat. Oleh itu kita perlu memelihara kenikmatan ini dengan cara kita memberi perhatian kepada ketaatan, menghidupkan ibadah dan mengikuti jalan yang lurus dan petunjuk yang benar melalui tilawah al-Quran walaupun satu halaman sehari, mengamalkan doa harian walaupun beberapa minit selepas solat isyak, mengamalkan zikir harian dengan zikir pagi dan petang, menunaikan solat lima waktu secara berjamaah semampu mungkin, bergaul dengan sahabat yang soleh dan mengutamakannya hingga sebahagian mereka membantu sebahaian yang lain untuk taat dan teguh hati.
  3. Soalan yang sering ditanya kebanyakan orang ialah adakah Allah menerima Ramadhan kita? Oleh itu kita mestilah menjadikan selepas Ramadhan suatu kebaikan dan kesejahteraan pada kita..kita melaksanakannya di minggu pertama selepas Ramadhan kerana kita bimbangkan diri kita..kalau kita tetap melakukan ibadah dan perbuatan maksiat. Adapun kalau kita dapati perlaksanaan ibadah dan akhlak kita meningkat dan berubah ke arah lebih baik selepas Ramadhan kita rasa gembira dengan izin Allah sebelum kita bertemu Ramadhan semula..


Dengan makna ini kita semestinya menghayati dan mengambil kebaikan daripada bulan Ramadhan yang mulia untuk pembangunan dan pembinaan jiwa kita dalam semua lapangan supaya menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.

Kita mohon Allah menerima amal ibadah kita dan menolong kita melakukan kebaikan pada bulan-bulan akan datang selepas Ramadhan. Allah adalah pemiliki atas semua perkara dan berkuasa atas segala sesuatu.
(Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=54207&SecID=363)

sumber: http://zadud-duat.blogspot.com/2010/09/apakah-yang-perlu-dibuat-selepas.html

Thursday, September 2, 2010

Tazkirah 23 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita tahu bahawa sedekah jariah adalah salah satu dari amalan yang akan menjadi saham bagi kita secara berpanjangan, pahalanya terus menerus masuk ke ‘akaun’ kita hatta setelah jasad kita ditelan bumi.

Kita juga maklum bahawa bulan Ramadan ialah bulan Sedekah, seperti yang telah disebutkan dalam Siri ini (Tazkirah 15 Ramadhan 1431). Kita sudah menyebutkan bahawa di dalam hadis mengenai Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertadarus dalam bulan Ramadan ada dinyatakan bahawa “Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an.”

Mungkin ada di antara kita yang melihat bahawa sedekah adalah untuk orang-orang yang kaya dan berharta kerana sedekah semestinya dengan wang ringgit atau harta benda. Namun Islam telah meluaskan konsep sedekah ini kepada semua perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain. Di zaman Nabi (saw) terdapat golongan sahabat yang berharta mampu untuk bersedekah harta benda di samping mereka melakukan ibadah khusus yang lain. Perkara ini menimbulkan kegusaran di kalangan sahabat yang tidak berharta kerana mereka melihat peluang mereka untuk mendapat pahala tidak sebaik rakan-rakan mereka. Di sini kita lihat bagaimana generasi tersebut risau kerana mereka mempunyai peluang tipis untuk menang dalam “perlumbaan mencari pahala”. Bandingkanlah sikap ini dengan sikap kita yang berlumba untuk selain dari pahala. Perhatikan hadis ini:

Dari Abi Dzar (ra), bahawasanya segolongan manusia dari sahabat-sahabat Nabi (saw) berkata kepada Nabi (saw) : Ya Rasulullah! Orang-orang yang mempunyai harta (orang kaya) telah (berpeluang) mendapat lebih banyak pahala dari kami. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang dan mereka puasa sebagaimana kami puasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan harta-harta mereka.

Berkata Rasulullah: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap tasbih itu sedekah, setiap takbir itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan maaruf itu sedekah dan melarang dari yang munkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang itu juga sedekah. Mereka berkata: Ya Rasulullah! Adakah seseorang kami menggunakan syahwatnya dan baginya pahala pada perbuatannya itu? Sabda baginda: Apakah pendapatmu kalau digunakannya pada yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila digunakan pada yang halal, maka baginya pahala (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain:

Dari Abu Hurairah (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (saw) : Tiap-tiap anggota dari manusia tertanggung atasnya bersedekah pada tiap-tiap hari yang terbit matahari. Engkau berlaku adil antara dua orang adalah sedekah, dan engkau menolong seorang lelaki untuk menaiki kenderaannya atau menolong mengangkat barang-barangnya adalah sedekah, dan perkataan yang baik adalah sedekah, dan tiap-tiap langkah engkau pergi sembahyang adalah sedekah, dan engkau membuang bahaya dari jalan juga sedekah. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian luasnya ruang lingkup sedekah. Para Ulama telah menghuraikan hadis ini bahawa sedekah terbahagi kepada dua jenis; untuk manfaat diri sendiri seperti tasbih, tahmid, perhubungan suami isteri dsbnya dan yang memanfaatkan orang lain seperti membuang halangan, ringan tulang membantu orang lain dengan tenaga, berlaku adil dan melaksanakan amar maaruf nahi munkar, selain dari sedekah harta benda untuk orang yang memerlukan.

Kita jelas kini bahawa ufuk, jenis dan ruang lingkup untuk bersedekah itu begitu luas. Tidak ada sebab untuk kita mengatakan bahawa kita tidak mampu untuk bersedekah terutama pada bulan yang berkat ini. Maka marilah kita bersegera untuk bersedekah dengan pelbagai cara mengikut kemampuan kita, terutama mengambil berkat dari Bulan Ramadan yang mulia ini.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Wednesday, September 1, 2010

Tazkirah 22 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita bersyukur kepada Allah kerana kini kita berada di sepertiga akhir Ramadan. Dalam tempoh ini, Allah membebaskan ramai manusia daripada api neraka. Peluang untuk bebas daripada api neraka adalah sesuatu yang significant. Tidak dapat kita bayangkan seksa api neraka yang disebutkan oleh Allah:

“Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (surah al-Kahfi: 29)

Tidak semua orang memperolehi nikmat ini; peluang untuk bebas daripada api neraka. Sepanjang bulan ini, kita sering membaca di dada akhbar orang mati dengan pelbagai sebab. Kita mendengar beberapa orang rakan, kaum kerabat, sahabat handai dan kenalan kita yang dipanggil menemui Allah setelah beberapa hari berada pada bulan Ramadan. Ada di antara kita yang mengalami sendiri mengurus jenazah kerabat, rakan dan taulan sepanjang bulan ini. Itu giliran mereka, giliran kita pasti akan tiba.

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (surah al-Jumuah:8)

Kita tidak boleh lari dari maut yang sentiasa membayangi kita. Cuma buat masa ini, Allah masih memberi kita waktu untuk dipergunakan untuk menghabiskan sisa-sisa usia kita di muka bumi ini. Allah masih memilih kita untuk menyambung nafas kita seharian dalam bulan mulia ini. Allah masih membuka peluang untuk kita mengumpul bekalan yang bakal kita bawa apabila kita kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya manusia akan mengumpulkan tiga perkara ketika di dunia. Tiga perkara inilah yang akan menghantarkannya ke kubur. Dua darinya akan kembali; hanya satu yang akan tinggal berkekalan dengannya selama-lamanya.

Anas b. Malik berkata Rasulullah (saw) bersabda:

Tiga perkara mengiringi jenazah; dua darinya akan kembali manakala hanya satu akan tinggal bersamanya. Yang mengikutinya ke kubur ialah kaum kerabatnya, hartanya dan amalan-amalannya. Kaum kerabatnya dan hartanya akan pulang; hanya amalan yang tinggal bersamanya. (Hadis Riwayat Muslim)

Harta kita akan dibahagi orang menjadi warisan pewaris-pewaris kita. Ia bukan lagi milik kita. Anak-anak kita akan menjadi orang yang kehilangan bapa atau ibu. Mereka juga akan berkahwin, beranak pinak dan mungkin melupakan kita. Isteri atau suami kita juga bukan lagi menjadi milik kita; bahkan mungkin menjadi milik orang lain. Yang kekal hanyalah amal ibadat yang kita lakukan sepanjang hayat kita dan amal jariah yang tiga:

Dari Abu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

Di antara amalan dan kebaikan yang akan terus menghubungi mukmin setelah meninggalnya ialah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak saleh yang ditinggalkannya, mushaf al-Quran yang diwariskannya, masjid yang didirikannya, rumah yang dibangunkannya untuk musafir, telaga yang digalinya atau sedekah yang dikeluarkannya selagi ia sihat ketika hidupnya, semua itu terus menghubunginya setelah dia meninggal. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Sementara kesempatan Allah membolehkan kita menyambung usia kita pada bulan Ramadan ini, marilah kita melihat diri sendiri dan merenung tentang persiapan kita menghadapi kematian yang pasti datang ini. Sempena satu pertiga akhir Ramadan ini, marilah kita pertingkatkan amal kita, banyakkan sedekah jariah, banyakkan kerja kebajikan, sebarkan ilmu yang bermanfaat dan didiklah anak-anak kita agar mereka nanti bakal mendoakan kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tazkirah 21 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perang Badar begitu bererti bagi sejarah Islam dan individu yang terlibat di dalamnya dimuliakan oleh Allah. Dalam riwayat-riwayat hadis biasanya gelaran“ ahli Badr” disebutkan selepas menyebut nama-nama mereka.

Para Sahabat Nabi (saw) yang terlibat dalam perang Badar mendapat penghormatan sehingga Nabi melarang Umar Ibn Khattab (ra) daripada mengapa-apakan Hatib Ibn Abi Baltaah yang cuba memberi amaran awal kepada penduduk Makkah mengenai rancangan Nabi menakluk Makkah. Nabi berkata , “Dia itu mengikuti perang Badr, betapa hilang ingatanmu kalau Allah melihat ahli Badar dan berfirman : “Lakukanlah apa yang kalian kehendaki!, sungguh aku telah mengampuni kalian”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Rifaa(ra) meriwayatkan:

Jibrail datang menemui Nabi (saw) dan bertanya: “ Bagaimana pandangan kamu tentang ahli Badar di kalangan kamu? “ Nabi menjawab: “ Mereka adalah golongan terbaik di kalangan Muslimin.” Jibrail berkata: “ Begitu juga pandangan Malaikat yang turut menyertai Perang Badar”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa kedudukan mereka begitu tinggi?

Mereka ialah orang yang dipilih oleh Allah menjadi pembela agama dalam keadaan yang begitu genting. Mereka adalah orang melayakkan diri menerima anugerah dari Allah berupa pertolongan langsung dari para malaikat:

(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Rabbmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu : "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang bertutut-turut". (surah al-Anfaal:9)

Mereka melayakkan diri kerana mereka telah memberikan segala-galanya untuk Islam. Mereka menerima Islam di saat orang lain mencemuhnya. Mereka pasrah taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka benar-benar mengotakan janji mereka untuk berkorban demi mempertahankan Islam. Mereka bersedia mati kerana mempertahankannya. Mereka maju ke depan sekalipun mereka tahu mereka bakal berdepan dengan tentera yang jauh lebih besar dan lebih baik kelengkapannya. Mereka tidak meninggalkan Nabi dalam saat genting sedemikian. Apabila mendapat berita tentang pergerakan tentera Quraish, Rasulullah (saw) bermesyuarat dengan para Sahabatnya. Lihat apa yang dikatakan oleh Miqdad Ibn Amr (ra):

"Rasulullah, teruskanlah apa yang sudah ditunjukkan Allah. “Kami akan bersama tuan. Kami tidak akan mengatakan seperti Banu Israil yang berkata kepada Musa: "Pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah. Kami di sini akan tinggal menunggu. Tetapi, pergilah engkau dan Tuhanmu, dan berperanglah, kami bersamamu akan juga turut berjuang.”

Demikian ciri-ciri khusus para ahli Badar yang telah mendapat anugerah yang begitu tinggi dari Allah. Sempena bulan Ramadan ini, ulangtahun perjuangan mereka, marilah kita mencontohi mereka dengan berusaha untuk berkorban setakat kemampuan kita demi untuk agama yang tercinta. Semoga Allah mengurniakan kita sebahagian dari sifat dan ciri ahli Badar.


Sumber: perkongsian oleh brother akram