Pohonlah rahmat Allah setelah beramal soleh 
Muhammad  bin Almunkadir dari Jabir r.a. berkata: "Nabi Muhammad s.a.w. keluar  kepada kami dan bersabda: "Malaikat Jibril tadi datang kepadaku dan  berkata: "Ya Muhammad, demi Allah yang mengutuskan mu sebagai nabi yang  besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama lima  ratus tahun diatas sebuah bukit yang lebar, panjangnya tiga puluh hasta  kali tiga puluh hasta dan dikelilingi oleh laut seluas empat ribu  farsakh dari tiap penjuru, disitu Allah s.w.t. mengeluarkan sumber air  yang segar selebar satu jari dari bawah bukit, juga pohon delima pada  tiap hari berbuah sebuah delima, maka bila siang hari turunlah orang itu  untuk wuduk dan memetik delima, lalu dimakannya, kemudian berdiri  sembahyang dan ia minta kepada Tuhan supaya dimatikan dalam sujud, dan  supaya badannya tidak disentuh bumi atau lain-lainnya hingga bangkit  dihari kiamat sambil sujud, maka Allah s.w.t. telah menerima  permintaannya, kerana itu tiap kami naik turun dari langit selalu  melaluinya ia sedang sujud. Jibril berkata: "Kami dapat dalam ilmu,  bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah  s.w.t. , lalu Allah s.w.t. menyuruh: "Masukkanlah hambaKu itu kedalam  syurga dangan rahmatKu." Maka berkata orang itu: "Dengan amalku." Maka  Allah s.w.t. menyuruh Malaikat supaya menghitung semua amalnya dan  nikmatKu iaitu nikmat melihat (penglihatan), tiba-tiba nikmat  penglihatan itu telah mengelilingi ibadatnya selama lima ratus tahun,  sedang nikmat-nikmat Allah s.w.t. yang lain-lainnya belum. Maka Allah  s.w.t. berfirman: "Masukkan ia kedalam neraka." dan ketika ditarik  menuju keneraka, ia berkata: "Masukkanlah aku kedalam syurga dengan  rahmatMu."
Maka Allah s.w.t. berfirman kepada Malaikat:  "Kembalikanlah ia." Lalu ditanya oleh Allah s.w.t.: "Hambaku, siapa yang  menjadikan kau daripada tidak ada?" Jawabnya: "Engkau Tuhan." Lalu  dutanya: "Apakah itu kerana amalmu atau rahmatKu?" Jawabnya: "Dengan  RahmatMu." Lalu ditanya: "Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk  beribadat lima ratus tahun?" jawabnya: "Engkau Tuhanku." Lalu ditanya  lagi: "Dan siapakah yang menempatkan kau diatas bukit dan ditengah laut  dan mengeluarkan air segar yang tawar dari tengah-tengah laut yang masin  getir dan menumbuhkan buah delima tiap pagi, padahal buah itu hanya  berbuah satu tahun satu kali, lalu kau minta kepadaKu untuk mati sujud,  siapakah yang berbuat itu semua?" Jawabnya: "Engkau Tuhanku." Firman  Allah s.w.t. : "Maka semua itu dengan rahmatKu." Malaikat Jibril  berkata: "Segala sesuatu terjadi dengan rahmat Allah s.w.t.."
Kesimpulannnya,  pasti ada dua perkara: Yang pertama, memperbaik amalan. Yang kedua,  bergantung kepada Allah dan menyingkirkan selainNya.
Keterangan dari Al-Quran dan Hadith 
Wahai  orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;  dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya  Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara  yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah  kurnia Allah dan RAHMATNYA kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di  antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi  Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang  peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.
(An-Nur,24:21)
Dan tiadalah aku (Nabi Yusuf a.s) berani  membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh  melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi RAHMAT oleh  Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya  Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Yusuf, 12:53)
Dan  demi sesungguhnya! Jika Kami beri dia merasai sesuatu RAHMAT dari Kami  sesudah ia ditimpa sesuatu kesusahan, berkatalah ia (dengan sikap tidak  bersyukur): "Ini ialah hakku (hasil usahaku semata-mata), dan aku tidak  fikir bahawa hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan  kepada Tuhanku (sekalipun), sudah tentu aku akan beroleh kebaikan di  sisiNya (seperti kesenanganku sekarang ini)!" Maka demi sesungguhnya!  Kami akan memberi tahu kepada orang-orang yang kufur ingkar itu akan  keburukan apa yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan beri mereka  merasai azab seksa yang seberatberatnya.
(Fussilat, 41:50)
Dari  jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal  seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka,  termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”
(Riwayat Muslim)
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari  Muhammad bin Alfadhel daro Ibn Abi Ruwad dari ayahnya berkata: "Allah  s.w.t. menurunkan wahyu kepada nabi Daud a.s.: "Hai Daud, gembirakan  orang-orang yang berdosa, dan peringatkan kepada orang-orang siddiq."  Maka Nabi Daud a.s bertanya: "Bagaimana menggembirakan orang-orang yang  berdosa dan mengancam orang-orang yang siddiq?" Allah s.w.t. berfirman:  "Gembirakan orang-orang yang berdosa bahawa tidak ada dosa yang tidak  dapat Aku ampunkan dan peringatkan pada orang siddiq supaya mereka tidak  berbangga (sombong) dengan amal perbuatan mereka kerana bila Aku  tegakkan keadilanKu dan perhitunganKu pada seseorang pasti binasa."
Syeikh  Muhyiddin Abdul Kadir al-Jailani berkata: DenganMu, kita tidak dapat  sampai, sedang kami amat berhajat kepadaMu. Yakni, kita tidak dapat  sampai ke mana-mana dengan amalan kita tanpa rahmat Allah Ta'ala, sedang  kita wajib beramal kerana menurut perintahNya.
Berkata Syeikh  Abu Said al-Kharraz: Siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada  Allah Ta'ala dengan amalannya, maka ia adalah seorang yang membuang  masa. Dan siapa yang mengira, bahawa ia akan sampai kepada Allah Ta'ala  tanpa amalan pula, maka ia adalah seorang yang berangan-angan kosong.  Yang demikian itu adalah sikap yang bodoh dan terpedaya. Menyerah kpd  Allah serta mengharapkan rahmatNya tidak boleh berlaku, melainkan  sesudah berbakti dan beramal saleh.
Berkata Al-Hasan al-Bashri:  Sesungguhnya mencita-citakan pengampunan itu telah memperdayakan banyak  orang, sehingga mereka meninggalakan dunia ini dalam muflis, tiada  mempunyai bekalan amal saleh sekali. Beliau menambah lagi; Sesungguhnya  orang Mukmin itu berbakti seraya gementar terhadap Allah Ta'ala.  Manakala seorang Munafik pula membuat kejahatan seraya merasa aman dan  sentosa senpanjang masa.
Bila turunnya Rahmat Allah
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(Al-Anbiyaa', 21: 107)
Dan  janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan  segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan  perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan  terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu  dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
(Al-A'raaf, 7: 56)
Dan  orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi  penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan,  dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan  sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya.  Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa,  lagi Maha Bijaksana.
(At-Taubah, 9:71)
Dan dirikanlah kamu akan  sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah;  supaya kamu beroleh rahmat.
(An-Nuur, 24: 56)
Dan sesungguhnya Al-Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
(An-Nuur, 24: 77)
Sebenarnya  orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di  antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada  Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujuraat, 49: 10)
Allah mengajar untuk bermohon rahmat dariNya
Katakanlah  (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas  terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat),  janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah  mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun,  lagi Maha Mengasihani.
(Az-Zumar, 39: 53)
Allah tidak memberati  seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala  kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang  diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami!  Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami  tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami  bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada  orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah  Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan  maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah  rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami  untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah, 2:  286)
(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami!  Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk  kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu;  sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
(Ali  'Imraan, 3: 8)
Mereka berdua (Nabi Adam a.s dan Hawa) merayu:  "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau  Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya  menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".
(Al-A'raaf, 7: 23)
"Sesungguhnya  ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia dahulu) memohon kepadaKu dengan  berkata: ` Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah  dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah  jua sebaik-baik Pemberi rahmat '.
(Al-Mu'minun, 23: 109)
Dan  berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata): "Wahai Tuhanku, berikanlah  ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik  Pemberi rahmat!
(Al-Mu'minun, 23: 118)
p/s: Petikan dari blog Cahaya Mukmin 
