Alhamdulillah, bertemu kembali dalam ruangan blog Mengharap Mardhatillah. Sebelum memulakan sedikit perkongsian tentang "7 tips mumtaz dari al-Quran" eloklah saya membawa para pembaca menghayati kembali maksud sebenar nama blog saya yang telah saya pilih sejak mula menubuhkan blog yang tak seberapa ini, tetapi insyaAllah dengan sedikit ilmu yang saya dan sahabat seperjuangan saya, Wan Farah telah kongsikan selama ini, insyaAllah moga sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca yang dahagakan ilmu Allah.
Seperti yang kita semua telah sedia maklum, mardhatillah adalah keredhaan Allah. Siapalah kita tanpa redha Allah, siapalah kita tanpa cinta Allah. Allah berfirman;
[ar Ra'd, 13:22]
Semestinya tempat kesudahan yang baik itulah yang menjadi impian kita semua. Maka, marilah bersama-sama kita meraih redha dan cinta Ilahi, insyaAllah :)
Berbalik pada tajuk asal entry kali ini, mari kita hayati sedikit kupasan ayat suci al Quran dari surah al Mu'minun, surah "orang-orang beriman".
Menuntut ilmu merupakan satu tanggungjawab untuk mengimarahkan dunia dengan cara yang dikehendaki oleh Allah. Dengannya, kedudukan manusia menjadi tinggi di sisi Allah. Firman Allah :
“Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan-beberapa darjat”
[ al-Mujadilah, 58:11]
Kesedaran terhadap kepentingan ilmu yang begitu jelas dalam pembawaan generasi awal Islam telah membuktikan kejayaan mereka mentadbir dunia mengikut acuan yang dikehendaki Allah s.w.t.
Inilah yang dimaksudkan dengan slogan MUMTAZ BUAT UMMAH yang kita laung-laungkan. Mengejar kejayaan demi ummah. Mentadbir dan mengembalikan kegemilangan Islam seperti zaman Rasulullah dan para sahabat. Bermula dengan menghasilkan kejayaan dari diri kita sendiri.
Bagaimana untuk memperoleh MUMTAZ?
Mari kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
1- Keyakinan, kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [al-Mu'minun, 23:1]
Perkara utama yang dititikberatkan dan menjadi batu asas dalam sebuah kejayaan adalah keimanan. Tanpa keimanan, sesorang dikira tidak berjaya. Sekalipun dia berjaya pada zahirnya, tetap tidak bererti kejayaan itu jika tanpa disertai keimanan.
2- Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
3- Prioriti. Mengutamakan apa yang utama
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [Al-Mu'minun, 23:3]
Orang berjaya adalah orang yang menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia. Ia tidak membazirkan masanya pada perkara yang bukan-bukan dan mengutamakan matlamatnya tanpa terpesong pada tujuan lain.
4- Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [Al-Mu'minun, 23:4]
Orang yang berjaya juga bukan hanya duduk bersendirian dan mengutamakan dirinya. Tetapi ia turut memerhatikan persekitarannya dan orang-orang di sekelilingnya. Juga membantu dan memenuhi keperluan mereka yang memerlukan.
5- Menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya.”
“kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela"
"Sesiapa yang mencari di balik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas."
[Al-Mu'minun, 23:5,6,7]
Antara ciri orang yang berjaya adalah mereka yang menjaga kehormatan diri. Tidak terjebak dengan pergaulan dengan lelaki atau perempuan yang tidak syar’ie. Muhasabah diri kita. Jika kita ada terjerumus dalam maksiat ini, bertaubatlah. Sesungguhnya kejayaan hakiki tidak akan dapat dikecapi jika masih ada karat-karat jahiliyyah ini.
6-Jujur, amanah.
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[Al-Mu'minun, 23:8]
Jujur dan amanah adalah sifat orang yang berjaya. Jika kita mampu berlaku jujur pada diri sendiri dan orang lain, maka kejayaan yang kita impikan semakin menghampiri.
7-Memelihara solat
”dan orang-orang yang memelihara solatnya.” [23:9]
Dan ciri kejayaan yang terakhir adalah mereka yang memelihara solatnya. Tidak melengah-lengahkannya apabila masuk waktu. Juga meninggalkan segala yang sedang kita lakukan ketika azan telah berkumandang. Ini juga menunjukkan sifat disiplin sorang muslim.
"Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [Al-Mu'minun, 23:10,11]
Inilah janji Allah. Syurga Firdaus yang kita idam-idamkan bagi mereka yang memenuhi ciri-ciri ini. Inilah sebuah kejayaan yang hakiki. Jika kita mengharapkan segala kejayaan di dunia, MUMTAZ dan kecemerlangan dalam peperiksaan, maka kembalilah dengan melaksanakan dan mengutamakan ciri kejayaan dan tips MUMTAZ dari kalam Tuhan ini.
Sahabat sekalian, sungguhpun secara fitrahnya, manusia itu diciptakan sukakan kejayaan, kebahagiaan, kesempurnaan, dan segala bentuk kemenangan, namun kadang kala tidak semua yang dihajatkan itu kita miliki. Tetapi harus diingatkan setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Jadilah muslim sejati, segala ketentuan, baik yang menyenangkan atau mendukacitakan diterima dengan penuh hikmah dan syukur. Allah berfirman;
"Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membangga diri."
[al-Hadid, 57: 22-23]
"YaAllah, tabahkan lah kami. Jadikanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai pegangan dan panduan kami dalam menghadapi segala ujianMu, serta menerangi jalan-jalan yang gelap. Redhai lah kami dan cintai lah kami ya Rabb, Ameen..."
Akhir kata, selamat menduduki peperiksaan buat semua sahabat dan saya sendiri, semoga dapat menjawab dengan sebaik-baiknya. Mari berusaha bersungguh-sungguh! Innallaha ma'ana :)
p/s: artikel "7 tips mumtaz dari al-Quran" dipetik dari Ikatan Muslimin Malaysia