Friday, April 29, 2011

Tiada Syurga Buat Para Pemfitnah

Di akhir zaman ini, kita sedang lihat amalan fitnah menfitnah semakin menjadi-jadi. Merebak macam kudis buta.

Semakin dunia menjelang kiamat, perbuatan menfitnah sesama manusia telah menjadi penyakit sosial yang amat parah dan sukar dirawati. Entah berapa ramai manusia yang disumbat ke lubang lahad dalam keadaan dosa fitnahnya belum terampun dan entah berapa ramai pula mangsa fitnah yang telah bersemadi di alam Barzakh sana yang belum terbela haknya serta belum dibersihkan nama serta kehormatannya?

PENYAKIT ROHANI

Fitnah sebagaimana yang dijelaskan Islam merupakan penyakit rohani yang mat keji lagi hina. Sungguh hina dan keji manusia-manusia penyebar fitnah. Bahkah mereka lebih keji, hina dan sesat dari binatang melata. Kerana sebuas mana pun binatang itu, tidaklah kita dapati mereka sibuk menfitnah sesama mereka.

Agama memandang keji perbuatan fitnah menfitnah kerana ia mendatangkan akibat buruk pada diri pemfitnah dan insan yang menjadi mangsa fitnahnya. Akibat buruk itu bukan hanya segera terjadi di atas dunia bahkan lebih dahsyat lagi di akhirat sana.

Pelik! kenapa seseorang suka menfitnah orang lain? Apa yang seronoknya kalau boleh memfitnah orang lain?

Jawapan kepada persoalan ‘kenapa’ suka menfitnah di atas dapat kita ungkaikan dengan cara menghadami definisi fitnah di bawah ini.

PENGERTIAN FITNAH

Erti Fitnah: “Seorang yang menyampai dan menyebarkan keburukan orang lain di khalayak orang ramai supaya orang ramai membenci, menyisih, tidak mempercayai, memusuhi bahkan memandang hina terhadapnya.

Setelah dihadamkan pengertian fitnah di atas, kita berkefahaman bahawa hodoh sungguh perangai pembuat dan penyebar fitnah.

Pembuat dan penyebar fitnah juga disifatkan Islam sebagai seorang kejam lagi tidak berperi kemanusiaan. Kejam dan zalimnya dosa menfitnah itu lebih berat dan lebih teruk dari dosa pembunuhan. Kejamnya dosa fitnah itu dinilai dari sudut akibat dan impak negatifnya. Bukan mangsa seorang sahaja yang akan terpalit fitnah, menanggung malu, tertekan dan derita bahkan seluruh ahli keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan sekelian keturunannya juga pun turut diheret sama ke kancah yang mengaibkan lagi tidak ketahuan hala itu.

Firman Allah SWT: “..dan fitnah itu lebih besar (bahaya dan impak negatifnya) daripada pembunuhan.” (surah Al Baqarah ayat 191).

Dalam ayat lain, Allah SWT menegaskan: “..dan fitnah itu lebih besar (dosa)nya daripada pembunuhan.” (surah Al Baqarah ayat 217).

JAUHI PENYEBAR FITNAH

Usah kita bercampur, bersekongkol dan bersama dengan para pembuat dan penyebar fitnah. Jangan didekati perkumpulan mereka. Kebarangkalian yang besar bahawa iblis dan syaitan turut sama menyertai majlis para pemfitnah serta turut sama menghamburkan idea-idea jahat dan licitnya. Amat diitakuti bahawa azab dan kemurkaan Allah akan menimpa para pemfitnah dan sekelian penyokongnya di dunia lagi.

Firman Allah SWT: “..dan janganlah kamu ikuti orang-orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela (dan) yang ke sana kemari menghamburkan fitnah (mereka cerita), yang sangat enggan berbuat baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa.” (SurahAl Qalam ayat10-12).

TAKUTLAH KEPADA ALLAH

Kepada para pemfitnah iaitu pereka fitnah dan penyebarnya, takutlah kepada Allah SWT yang sentiasa mengawasi dan memantau kejelikan dan kejahatan perangaimu.

Lupakah engkau di saat engkau mereka cipta fitnah itu kemudian menyebarkannya kepada orang lain bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mengetahui perbuatan engkau? Lupakah engaku bahawa segala perbautan engkau akan diperhitungkan di padang Mahsyar nanti? Tidak pernahkah engkau mendengar bahawa pra pemfitnah akan pulang ke akhirat sebagai seorang Muflis?

Andai engku tidak bertaubat dari dosa fitnahmu serta tidak memohon kemaafan dari saudara yang kamu fitnahi itu baik berupa kata-kata, tulisan maupun gambar, maka ingatlah tempat tinggal kamu selepas mati adalah di dalam neraka yang menyakitkan. Syurga nan indah tidak pernah disediakan buat para pemfitnah.

Sabda Nabi SAW:

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).


p/s: Kepada para pemfitnah, segeralah bertaubat! ( link asal )

Friday, April 22, 2011

Kehebatan Rasa Takut Kepada Allah

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Martabat manusia ditentukan oleh akhlaknya. Kematangan sikap dan peribadi bermula dari rumah tangga.

Menanamkan sikap yang jujur dan membentuk perangai umat mesti dimulai dengan menanam syakhsiah pada keluarga manakala pembinaan rohani anggota keluarga pula perlu dilaksanakan dengan agama.

Ia sebenarnya perlu dimulai dengan menanamkan rasa ”Khauf” atau takut sebagaimana firman Allah swt :

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan penuh rasa takut (khauf) dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka”. (QS As Sajdah : 16)

Perkataan “khauf” yang bererti takut telah disentuh di dalam Al Qur’an sebanyak 134 kali dan perkataan yang sinonim dengannya iaitu “Khasysyah” yang juga bererti takut terdapat sebanyak 84 kali.

Allah swt menjadikan kehidupan di dunia ini ibarat medan ujian yang mesti ditempuh oleh manusia.

Firman Allah swt tentang perkara tersebut :

“Dialah Allah yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (QS Al Mulk : 2)

Rasa takut (khauf) merupakan sifat kejiwaan dan kecenderungan fitri yang bersemayam di dalam hati manusia dan memiliki peranan yang penting dalam kehidupan kejiwaan manusia.

Sayyidina Ali bin Abi Talib ra berkata :

(MAN KHAAFA AAMANA), “Barangsiapa yang takut, aman!”

a. Kalau kita tidak takut hujan, kita tidak akan sediakan payung.

b. Apabila kita tidak takut sakit, kita tidak akan berusaha untuk meningkatkan kesihatan kita.

c. Apabila kita tidak takut negara rosak, maka kita tidak perlu memilih pemimpin yang baik.

Islam tidak memandang rasa takut yang ada dalam diri manusia sebagai aib yang mesti dihilangkan.

Namun demikian, rasa takut akan menjadi sesuatu yang buruk apabila seseorang tidak mampu mengatur dan menyalurkan rasa takutnya, apalagi bila rasa takut itu menjadi halangan kepada apa-apa kemajuan, penghambat kebebasan mengamalkan sunnah dan membiarkan kehormatan dirinya rosak.

Sayyidina Ali bin Abi Talib ra menasihati kita lagi :

“Kalau kamu bertekad melakukan sesuatu, maka harungilah …… kerana bayangan bencana terlihat lebih besar dari yang sebenarnya.”

Jadi, sesungguhnya menunggu datangnya sesuatu, tanpa bersiap sedia dan berbuat sesuatu sebenarnya lebih buruk dari sesuatu yang ditunggu itu sendiri.

Oleh kerana itu, lebih baik kita melakukan persiapan dan menyusun kekuatan batin menghadapi sesuatu yang akan datang.

Al Qur’an telah menggambarkan rasa takut yang timbul pada jiwa para rasul dan juga pada diri hamba-hamba Allah yang soleh, meskipun mereka adalah manusia pilihan yang terkenal suci dan bersih.

Allah swt berfirman menceritakan peristiwa keluarga Musa as ketika menghadapi kekejaman Fir’aun yang membunuh setiap anak-anak lelaki yang lahir kerana takut, jika generasi yang lahir itu, akan mengubah kekuasaan yang selama turun temurun telah berada di tangan keturunan Fir’aun itu.

Maka ketika Musa lahir, yang memang dipersiapkan oleh Allah swt untuk menggantikan kekuasaan Fir’aun, kepada ibu Musa diilhamkan oleh Allah swt sebagai berikut :

“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa : “Susukanlah dia, dan apabila kamu takut (khuatir), maka hanyutkanlah ia ke dalam sungai (Nil). Dan janganlah kamu takut dan (jangan pula) bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul.” (QS Al Qashash : 7)

Rasa takut (khauf) adalah masaalah yang berkaitan dengan kejadian yang akan datang.

Seseorang hanya merasa takut jika :

  1. Yang dibenci tiba.
  2. Yang dicintai hilang.

Takut merupakan salah satu syarat iman dan kerelaan melaksanakan hukum-hukumnya.

Takut kepada Allah adalah rasa takut yang semestinya dimiliki oleh setiap hamba kerana rasa takut itu mendorong untuk :

  1. Meningkatkan amal kebaikan.
  2. Bersegera meninggalkan semua yang dilarangNya.

Rasa takut kepada Yang Maha Kuasa adalah salah satu tiang penyangga keimanan kepadaNya.

Dengan adanya rasa takut, timbul rasa harap (rajaa’) akan keampunan (maghfirah), lahir harapan tentang ‘inayah' (pertolongan) serta rahmat Allah dan ridhaNya.

Sehingga hakikat “iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’iin” benar-benar termatri dalam kalbu seorang hamba.

Di saat manusia merasakan getaran rasa takutnya kepada Allah, maka ketika itu bererti mereka memiliki rasa takut pula akan ancaman azab yang Allah sediakan bagi orang-orang yang durhaka kepadaNya.

Ma’rifah (pengetahuan) akan sifat Allah akan menghantarkan ke dalam pengetahuan tentang azabNya.

Seorang hamba yang soleh, berma’rifatullah dan merealisasikan hakikat kehambaannya dengan sentiasa mengamalkan perintahNya dan mengamalkan pula semua ajaran rasulNya, pasti akan memiliki rasa takut yang mendalam terhadap azab yang mengancamnya.

Sikap ini akan melahirkan kewaspadaan sehingga tidak ada amal atau perilaku yang mengarah kepada perkara-perkara yang menjadikan Allah murka dan menjadikan dirinya durhaka kepada Allah swt.

Allah swt berfirman :

“Katakanlah: “Sesungguhnya aku takut akan siksaan hari yang besar jika aku durhaka kepada Tuhanku.” (QS Az Zumar : 13)

Sesungguhnya rasa takut kepada Allah itu merupakan salah satu perasaan yang diciptakan dalam diri manusia untuk memotivasi mereka dalam menyebarluaskan dan menjaga nilai-nilai Ilahi.

Orang yang benar dalam memposisikan rasa takutnya akan merasakan rahmat Allah samada dalam kehidupan duniawi mahupun ukhrawi.

Rasa takut ini dapat menjadi kuat dan lemah bergantung kepada keyakinan seseorang pada Allah swt.

Jika manusia itu memahami begitu banyak maksiatnya yang akan dihadapkan kepada Allah Yang Maha Agung yang tidak memerlukan apa-apa daripada kita, maka akan timbullah rasa takut.

Maka orang yang paling tinggi rasa takutnya adalah yang paling mengetahui dirinya dan penciptanya.

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada Allah di antara hambanya adalah para ulama’.” (QS Faathir : 28)

Kesan dari rasa takut yang benar adalah jika seseorang sudah benar kefahamannya, maka mulailah rasa takut masuk dihatinya dan memberi kesan pada :

1. Wajahnya yang kelihatan pucat.

2. Perasaannya yang mulai gementar.

3. Tangisannya yang mula kedengaran.

Kemudian kesan itu menjadi penggugah untuk ia meninggalkan maksiat lalu terus membuat komitmen dalam ketaatan dan bersungguh-sungguh dalam beramal.

KATEGORI RASA TAKUT

Rasa takut ini ada yang :

a. Berlebihan.

b. Sederhana.

c. Kurang.

1. Yang berlebihan adalah yang mengakibatkan rasa putus asa dan berpaling dari ketaatan.

2. Yang sederhana akan menimbulkan sikap waspada, hati-hati (wara’), takwa, mujahadah, fikir, zikir, kesihatan fizikal dan kebersihan akal.

3. Yang kurang akan mengakibatkan tidak meninggalkan maksiat yang dilakukan.

Rasa takut para salafus soleh berbagai-bagai :

1. Ada yang takut meninggal sebelum bertaubat.

2. Ada yang takut diuji dengan nikmat.

3. Ada yang takut hilang sifat istiqamah.

4. Ada yang takut su’ul khatimah.

5. Ada yang takut dahsyatnya berdiri di hadapan Allah swt.

6. Ada yang takut dihijab tidak dapat melihat wajah Allah swt di akhirat nanti.

Inilah tingkatan takut para ‘aarifiin' kerana perasaan takutnya murni kepada kehebatan dan keagungan Allah swt sebagaimana firman-Nya :

“Dan Allah mempertakuti kamu dengan diri-Nya.” (QS Ali Imran : 30)

Di antara mereka ada Abu Darda’ ra yang berkata:

“Tidak seorangpun yang merasa aman dari gangguan syaitan terhadap imannya saat kematiannya.”

Begitu juga dengan Sufyan Ats-Tsauriy ketika saat wafatnya menangis, maka berkata seseorang:

“Ya Aba Abdullah! Apakah kamu mempunyai banyak dosa?”

Maka Sufyan mengambil segenggam tanah dan berkata:

“Demi Allah, dosaku lebih ringan dari ini, tetapi aku takut diganggu imanku sebelum kematianku.”

Ada pula seorang Nabi yang mengadu kelaparan dan kekurangan pakaiannya kepada Allah swt, maka Allah swt mewahyukan padanya:

“Wahai hambaku, apakah engkau tidak ridha bahwa aku telah melindungi hatimu dari kekafiran selama-lamanya sehingga engkau meminta dunia kepada-Ku?”

Maka Nabi tadi mengambil segenggam tanah lalu menaburkannya di atas kepalanya (kerana rasa syukurnya) sambil berkata:

“Demi Allah, aku telah ridha ya Allah, maka lindungilah aku dari kekafiran.”

Keutamaan rasa takut disebutkan dalam hadits Nabi saw :

“Berfirman Allah swt : Demi Keagungan dan Kekuasaan-Ku tidak mungkin berkumpul dua rasa takut dalam diri hambaku dan tidak akan berkumpul dua rasa aman. Jika ia merasa aman padaKu di dunia maka akan aku buat ia takut di hari kiamat, dan jika ia takut padaKu di dunia maka ia akan aman di akhirat.” (HR Ibnu Hibban)

BEBERAPA CONTOH SIFAT RASA TAKUT

PERTAMA : Takutnya para Malaikat :

“Mereka merasa takut kepada Rabb-nya, dan mereka melakukan apa-apa yang diperintahkan Allah.” (QS An-Nahl : 50)

KEDUA : Takutnya Nabi saw :

“Bahwa Nabi saw jika melihat mendung ataupun angin maka segera berubah menjadi pucat wajahnya. Berkata A’isyah ra: “Ya Rasulullah, orang-orang jika melihat mendung dan angin bergembira kerana akan datangnya hujan, maka mengapa anda cemas?” Jawab beliau saw: “Wahai A’isyah, aku tidak dapat lagi merasa aman dari azab, bukankah kaum sebelum kita ada yang diazab dengan angin dan awan mendung, dan ketika mereka melihatnya mereka berkata: Inilah hujan yang akan menyuburkan kita.” (HR Bukhari dan Muslim)

Dan dalam hadits lain disebutkan bahwa Nabi saw, jika sedang solat, terdengar di dadanya suara desingan seperti air mendidih dalam tungku, kerana tangisannya.

KETIGA : Takutnya para sahabat radiallahuanhum :

a. Abu Bakar ra sering berkata: “Seandainya saya hanyalah buah pohon yang dimakan.”

b. Umar ra sering berkata: “Seandainya aku tidak pernah diciptakan, seandainya ibuku tidak melahirkanku.”

c. Abu ‘Ubaidah bin Jarrah ra berkata: “Seandainya aku seekor kambing yang disembelih keluargaku lalu mereka memakan habis dagingku.”

d. Berkata Imraan bin Hushain ra: “Seandainya aku menjadi debu yang ditiup angin kencang.”

KEEMPAT : Takutnya para tabi’iin :

a. Ali bin Hussein jika berwudhu untuk solat, menjadi pucat wajahnya, maka ditanyakan orang mengapa demikian? Jawabnya: “Tahukah kamu kepada siapa saya akan mengadap?”

b. Berkata Ibrahim bin ‘Isa as Syukriy: “Datang padaku seorang lelaki dari Bahrain ke dalam masjid ketika orang-orang sudah pergi, lalu kami bercerita tentang akhirat dan zikrul maut, tiba-tiba orang itu sedemikian takutnya sampai menghembuskan nafas terakhir saat itu juga.”

c. Berkata Misma’: “Saya menyaksikan sendiri peringatan yang diberikan oleh Abdul Wahid bin Zaid di suatu majlis, maka wafat 40 orang ketika itu juga di majlis itu setelah mendengar ceramahnya.”

d. Berkata Yazid bin Mursyid: “Demi Allah seandainya Rabb-ku menyatakan akan memenjarakanku dalam sebuah ruangan selama-lamanya maka sudah pasti aku akan menangis selamanya, maka bagaimanakah jika ia mengancamku akan memenjarakanku di dalam api?!”

Demikianlah rasa takut para malaikat, nabi-nabi, para sahabat, tabi’iin, ulama’ dan auliya’.

Maka kita sebenarnya lebih patut untuk merasa takut dibandingkan dengan mereka.

Mereka takut bukan kerana dosa melainkan kerana kesucian hati dan kesempurnaan ma’rifah, sementara kita telah dikalahkan oleh kekerasan hati dan kebodohan.

Hati yang bersih akan bergetar hanya kerana sentuhan yang kecil, sementara hati yang kotor tidak berguna baginya nasihat dan ancaman.

Ya Allah, masukkanlah rasa takut ke dalam relung hati kami yang paling dalam terhadap kehebatan dan kekuasaanMu yang mutlak dan hapuskanlah rasa takut kami kepada sesama makhluk. Berilah kesedaran kepada kami melalui rasa takut akan azabMu hingga menjadikan kami sentiasa berhati-hati untuk tidak melanggar larangan-laranganMu dan sebagai motivasi untuk kami mempertingkatkan lagi ibadah kami kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali

Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"

"IKRAM WADAH PERJUANGAN"



Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wednesday, April 20, 2011

Husnuzon VS Suuzon

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, yang terus menerus menguruskan hamba-hambaNya, memberi rezeki yang tidak terkira banyaknya. Dan hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan.

Alhamdulillah, tiba-tiba tajuk ini terlintas di fikiran saya tatkala terbaca status Dr Zainur Rashid Zainuddin di facebook, berkaitan tentang husnuzon.

Apa itu husnuzon? Husnuzon adalah berbaik sangka. Ini adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam kerana perbuatan ini dapat mengelak dari menuduh orang lain berbuat keburukan, yang secara tidak langsung, jika tidak punyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah!

"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya."
[al Isra', 17:36]

Berbaik sangka juga mempunyai banyak kebaikan dan kelebihannya. Antaranya adalah hubungan persahabatan dan persaudaraan menjadi lebih baik. Ini kerana, apabila hati bebas dari bersangka buruk terhadap saudara itu, maka yang ada dalam hatinya adalah sangkaan baik-baik belaka, maka sudah pasti hatinya bertambah cinta pada saudaranya itu. Bayangkan jika hati penuh dengan sangka buruk, sudah pasti apabila lihat sahaja muka saudaranya itu, menjadikan timbul benci, geram dan segala dendam, biarpun sangkaannya itu belum terbukti benar, nauzubillah.

Selain itu, bersangka baik juga dapat membersihkan hati dari titik-titik hitam di hati. Titik hitam ini hanya singgah pada hati yang kotor. Jika hati sudah penuh dengan titik hitam, maka proses pembersihannya juga menjadi sukar. Bukankah mencegah lebih baik dari mengubati. Jadi, marilah kita mencegah perkara-perkara mungkar dari terus berkumpul di hati kita, bukan buruk sangka sahaja, malah segala bentuk kemungkaran.

Beberapa pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani agar kita sentiasa bersangka baik sesama insan ;

1. Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu;
"Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku."

2. Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku."

3. Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku."

4. Jika bertemu denagn seorang yang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu;
"Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku."

5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah dalam hatimu;
"Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku."

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olokkan). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
[al Hujurat, 49:11]

Saya pernah terbaca sepotong ayat dari suatu artikel yang lebih kurang berbunyi begini, "Jika anda sangka anda adalah orang yang paling bertaqwa kerana anda adalah orang bertaqwa, maka di saat itu juga, anda bukanlah orang yang bertaqwa sebenarnya".

Namun, kita harus beringat, andai kata kita ternampak orang melakukan maksiat, dan kita bersangka baik terhadap mereka, maka kita juga tidak terlepas dari menanggung dosa tersebut. Kerana Islam mewajibkan kita mencegah kemungkaran yang berlaku di persekitaran kita dengan kemampuan yang ada pada kita, seperti mana sabda Rasulullah s.a.w;

"Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan), jika ia tidak mampu, maka denagn lidahnya (secara lisan), dan jika ia tidak mampu juga, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju; tidak meredhai). Dan itu adalah selemah-lemah iman."
[Hadis Riwayat Muslim]

Jelas di sini, kita tidak boleh beranggapan baik terhadap orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Contohnya apabila terlihat orang bermain judi, dan kita bersangka dalam hati, "Mungkin orang ini kesuntukan wang. Biarlah, dia pun nak cari rezeki menyara keluarga."
Tetapi sebaliknya, kita haruslah mencegah kemungkaran itu, bukan meredhainya.

Dan bagaimana pula dengan Suuzon? Suuzon adalah bersangka buruk. Islam melarang umatnya dari berburuk sangka seperti dalam firman Allah,

"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan, tanpa ada kesalahan yang mereka perbuat, maka sungguh, mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."
[al Ahzab, 33:58]

Firman Allah lagi,

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengunjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang."
[al Hujurat, 49:12]

Ustaz Nor Amin ada menyebut dalam penulisannya yang bertajuk Husnuzon dan Suuzon, bahawa umat Islam juga perlu bersangka buruk dalam beberapa perkara. Contohnya soal keselamatan diri, apabila ternampak orang yang tak dikenali berkeliaran di persekitaran perumahan pada waktu malam. Ini bukan kita menuduh, tetapi kita mengambil sikap berjaga-jaga dari berlakunya musibah-musibah yang tidak diingini. Perbuatan bersangka buruk sebegini diharuskan, kerana ia menjaga keselamatan diri dan harta kita.

Bersangka buruk terhadap prestasi pelajaran anak-anak, kerana mereka tidak membaca buku dan hanya main game dan menonton TV sahaja. Hasil dari sangka buruk tersebut, kita menghantar anak menghadiri kelas tusyen, kelas tambahan atau juga turut membantu dan membimbing mereka untuk meningkatkan prestasi anak tersebut. Maka di sini merupakan sangka buruk yang menguntungkan semua pihak.

Antara lain adalah, bersangka buruk terhadap pokok besar atau semak di belakang rumah kita, yang akan mengundang kehadiran binatang liar seperti ular sawa, atau mungkin juga haiwan penyebar jangkitan kuman seperti tikus, maka dengan sangka buruk tersebut kita bergotong-royong dengan ahli keluarga untuk memotong pokok serta mencantas semak tersebut untuk menjaga keselamatan rumah dan nyawa keluarga kita. Maka bersangka buruk seperti ini juga diharuskan.

Namun, walau apa pun, siapalah kita untuk menilai manusia. Hanya Allah berhak menilai manusia kerana hanya Dia yang mengetahui bisikan hati-hati ciptaanNya itu.

"Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati."
[al Mulk, 67:13]

Semoga sedikit peringatan ini dapat membawa kita untuk bermuhasabah kembali serta membaiki hubungan sesama manusia. Dan yang lebih penting, bersangka baik dengan Allah :)

Wallahua'lam.