Zihin (minda) seorang mukmin perlu menjadi minda yang sahih. Kerangka fikiran yang menjadi penentu corak pemikiran kita perlulah dicorakkan oleh kerangka dan warna keimanan. Baharulah seluruh hidup dan mati, tingkah dan laku, tutur dan kata serta tarik dan hela nafasnya akan bernuansakan keimanan. Segalanya akan diwarnai dengan celupan Allah.
Allah Taala sendiri telah menyatakan hal ini sebagaimana firmanNya di dalam surah al-Baqarah ayat ke-13:
صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
“Shibghah (celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.”
Imam At-Tobari menukilkan dua pendapat mengenai makna shibghah (celupan) ini. Pendapat yang pertama menyatakan maknanya ialah ‘agama Allah’. Manakala pendapat yang kedua ialah ‘fitrah yang Allah ciptakan dengannya’. Mengambil kira kedua-dua takwilan ini, boleh kita fahami perkataan shibghah ini merujuk kepada pembentukan dan pelarutan secara syumul seluruh warna dan corak kehidupan kita dengan agama Allah. Termasuklah zihin (minda) dan kerangka pemikiran kita.
Iman yang murni akan meletakkan keyakinan kepada kewujudan, keesaan, kekuasaan dan kebesaran Allah Taala untuk melebihi segala-galanya. Kemurnian iman ini pula akan mendorong untuk seseorang itu berfikir, berkeinginan, berbicara dan berkelakuan sebagaimana yang mendatangkan keredhaan dan kesukaan Allah Taala. Maka tidak ada satu kehidupan yang lebih dicintai oleh Allah Taala melebihi bentuk dan corak kehidupan Rasulullah s.a.w. dan kehidupan para Sahabat radhiyallahu ‘anhum.
Tidakkah Allah sendiri yang telah berfirman?
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” ( Surah Aali ‘Imran 3: 31)
Allah Taala telah mengaitkan kasih dan cintaNya dengan sejauhmana kita dapat mengikuti dan menuruti kehidupan suci murni Rasulullah s.a.w. Demikian juga, Allah Taala sendiri telah menyatakan:
“Orang-orang yang terdahulu lagi yang paling awal (masuk Islam) dari golongan Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah 9: 100)
Amat jelas, Allah Taala telah mengikat keredhaanNya kepada kita dengan ukuran sejauhmana kita dapat mengikuti para sahabat Rasulullah s.a.w.
Seluruh kerangka pemikiran kita perlu dicelup dengan celupan Allah. Pemikiran kita perlulah dibentuk oleh acuan keimanan yang kental dan murni. Keimanan dan keyakinan bahawa untuk melayakkan kita mendapat manfaat langsung daripada Allah Taala, tidak dapat tidak mestilah mempunyai keyakinan yang sempurna bahawa segala kejayaan sama ada di dunia mahupun di akhirat, tidak akan terjadi melainkan dengan mentaati seluruh perintah Allah Taala, sebagaimana manhaj (cara) Nabi Muhammad s.a.w.
Hanya pemikiran yang dibingkai oleh keimanan dan keyakinan begini mampu meletakkan tuannya dalam laluan yang betul dan sahih. Jika tidak, kita akan kehilangan jati diri dan makna hidup yang betul.
Cuba jika kita ditanyakan, “Senaraikan nama-nama negara Timur Tengah!”
Sudah tentu kita akan menyebutkan Arab Saudi, Mesir, Jordan, Kuwait dan sebagainya. Mungkin dengan spontan sahaja kita akan senaraikan nama negara-negara tersebut.
Namun, pernahkah kita tanyakan, “Eh… ‘timur’ itu dari mana? ‘tengah’ itu dari mana? Aku yang tinggal di Malaysia ini, adakah Jordan, Arab Saudi dan negara-negara Arab itu terletak di sebelah timur Malaysia?”
Timur atau barat?
Lihatlah… betapa kita kehilangan jati diri yang paling mudah, sehingga timur dan barat juga kita telah keliru. Jika kita berada di London, maka baharulah betul istilah Timur Tengah merujuk kepada gugusan negara Arab tersebut. Jika kita yang di Tanah Melayu pun merasa negara-negara Arab pun duduk di sebelah timur kita, maka itu adalah satu tanda yang amat jelas, betapa rosaknya zihin (minda) kita hari ini.
Sedarkah betapa huru-haranya zihin kita hari ini?
Link asal di sini
No comments:
Post a Comment