Monday, August 30, 2010

Tazkirah 20 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan dalam trazkirah yang lalu, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, berlaku komunikasi secara langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.

Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia. Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tampak tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. Sementelahan itu, 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan
kenderaan tersebut.

Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):

Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesombongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”

Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:

Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata:
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)

Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.

Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan member kemenangan kepada mereka.

Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Sunday, August 29, 2010

Tazkirah 19 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadan di Gua Hira’ merupakan titik tolak yang penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna sangat yang mendalam.

Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur (munajjaman). Firman Allah:

“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah
al-Isra’: ayat 106)

Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepada/daripada Allah melalui Rasul-Nya.

Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan. Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.

Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.

Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.

Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’.

“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.

Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamadunnya yang gemilang.

Di mana kita hendak bermula?

Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membulatkan tekad dan azam untuk membaca al-Quran,Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang telah diberikan di dalam Tazkirah 17 Ramadan 1431. Semoga Allah merahmati kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tazkirah 18 Ramadhan

Bacalah dengan (menyebut) nama Rabbmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dengan segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (surah al-Alaq:1-4)


Rata-rata umat Islam maklum akan kisah penurunan wahyu pertama ini. Kita sering membaca ayat-ayat ini tetapi mungkin kita kurang memahami implikasinya yang mendalam. Kita kurang menyelami makna kepada wahyu pertama ini. Mungkin itu salah satu sebab, kita kurang mengambil endah kitab wahyu yang kini berada di dalam almari atau di atas rak mengumpul debu.

Menurut Sayyid Qutb dalam kitab Tafsirnya, Fi Zilal Quran, peristiwa penurunan wahyu pertama ini ini amat bermakna serta mempunyai implikasi dan kepentingan yang amat besar. Menurut beliau “ tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa terbesar dalam sejarah kewujudan umat manusia!”.

Hakikat sebenar peristiwa ini ialah Allah (swt), Yang Maha Agung,Maha Perkasa dengan sifat pemurah dan rahmah-Nya, telah mengambil berat tentang makhluk-Nya yang bernama manusia yang menghuni setitik planet bernama bumi di pinggir cakrawala yang luas ini. Allah telah dengan rahmat-Nya lagi sekali dan bagi kali terakhir memilih salah seorang dari penghuni tersebut untuk menerima cahaya rabbani dan melantiknya menjadi pendokong kepada risalah-Nya.

Ini adalah peristiwa yang amat besar ertinya. Jika dibayangkan kekerdilan kita sebagai manusia dan kebesaran dan ketinggian Allah sebagai Pencipta dan Pemilik Alam Semesta, maka makin jelaslah bahawa keperihatinan Allah terhadap makhluk yang berada di ceruk terpencil di dalam cakarawala ini merupakan pancaran dari sifat Penyayang Allah.

Pada malam penurunan ayat-ayat awal surah al-Alaq ini, Allah membuat hubungan secara langsung dengan seorang manusia di bumi. Pada malam ini, Allah endah (mengambil berat) terhadap manusia. Pada malam ini, bumi disirami dengan kalimah Allah.

Peristiwa besar ini membawa perubahan yang besar kepada kehidupan manusia dan dunia. Ia menjadi titik tolak di mana manusia lagi sekali diseru kembali untuk melihat kepada Allah sebagai sumber hidayah; sumber peraturan kehidupan. Para sahabat Nabi (saw) tahu bahawa inilah sahaja tempat mereka mengambil sumber untuk setiap hukum, peraturan atau cara hidup yang mereka akan jalani. Dan perhubungan yang mulia ini berterusan sehingga 23 tahun.

Para sahabat memahami hakikat ini. Mereka jelas kedudukan dan keistimewaan yang mereka kecapi. Dan mereka tahu perhubungan dengan Yang Maha Tinggi ini berakhir dengan kewafatan Nabi (saw). Anas menceritakan bahawa Abu Bakar (ra) berkata kepada Umar (ra) selepas kewafatan Nabi (saw). “Marilah kita menziarahi Ummu Ayman (Pengasuh Nabi) seperti mana yang sering dibuat oleh Rasulullah (saw).”

Apabila mereka menemui Ummu Ayman, beliau menangis. Mereka berkata, “ Kenapa anda menangis sedang kan anda tahu bahawa berada di sisi Tuhan adalah lebih baik bagi Nabi?” . Beliau menjawab: “ Benar! Tetapi aku menangis kerana dengan kematian Baginda, wahyu dari langit kini tidak lagi turun!” Air mata berlinangan dan ketiga-tiga mereka pun menangis. (Hadis Riwayat Muslim)

Demikian kefahaman yang ada pada para sahabat tentang betapa bermaknanya wahyu Ilahi. Wahyu itu kini masih ada di tangan kita. Cuma sejauh manakah kita kini menghargai wahyu suci tersebut; membacanya, menyelami maksudnya dan menghayatinya dalam mengatur kehidupan kita di muka bumi ini.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita semua maklum bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan. Para ahli seerah menerangkan bahawa pada satu malam pada bulan Ramadan, ketika Nabi (saw) sedang bermunajat di gua Hira’ turun malaikat Jibrail menyuruh baginda membaca.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tazkirah 17 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan; bahkan sepanjang hidup kita seharian.

Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.

Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa pra-syarat asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.

Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ianadalah kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia fana ini.

Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuk-nunjuk, maka sekadar itulah yang kita akan dapati.

Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan pengajaran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.

Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setiap ilmu dan petunjuk yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.

Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya, maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu mengenai itu.

Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha memalingkan kita dari cuba mamahami dan menghayati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.

Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca, memahami dan memperolehi hidayah darinya.
Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Thursday, August 26, 2010

Doa para kekasih Allah

Assalamualaikum w.b.t.

Di sini terdapat sebahagian dari doa-doa nabi dan rasul yang terdapat dalam Al Quran :

Doa Nabi Adam a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami,kami telah menzalimi diri kami sendiri,dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami,nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi."
(Al-A'raf, 7:23)


Doa Nabi Nuh a.s.
Maksudnya: Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan (hakikatnya). dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku, dan (tidak) memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi."
(Huud, 11:47)


Doa Nabi Ibrahim a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap melaksanakankan solat. Wahai Tuhan kami,perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman,pada hari diadakan perhitungan (hari Kiamat)."
(Ibrahim, 14:40-41)


Doa Nabi Yunus a.s.
Maksudnya: "Sesungguhnya tiada tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya,tolonglah aku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."
(Al-Anbiya', 21:87)


Doa Nabi Zakariya a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhanku,kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan"
(Ali Imran, 3:38)


Doa Nabi Musa a.s.
Maksudnya: Nabi Musa berdoa dengan berkata "Wahai Tuhanku,lapangkanlah bagiku,dadaku. Dan mudahkanlah bagiku, urusanku. Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku. Supaya mereka faham perkataanku."
(Thahaa, 20:25-28)


Doa Nabi Isa a.s.
Maksudnya: "YaAllah, Tuhan kami, turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadaMu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu) dan kurniakanlah rezeki kepada kami,kerana Engkau jualah sebaik-baik pemberi rezeki."
(Al-Maidah, 5:114)


Doa Nabi Syuaib a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, hukumlah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran (keadilan) kerana Engkau jualah sebaik-baik hakim."
(Al-A'raf, 7:89)


Doa Nabi Ayub a.s.
Maksudnya: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) Yang Mengasihani."
(Al-Anbia', 21:83)


Doa Nabi Sulaiman a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhanku,ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada kedua ibu bapaku,dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh."
(An-Naml, 27:19)


Doa Nabi Luth a.s.
Maksudnya: "Wahai Tuhanku,selamatkanlah aku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu."
(Asy-Syura, 42:169)

Maksudnya: "Wahai Tuhanku,tolonglah aku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)."
(Al-Ankabut, 29:30)


Doa Nabi Yusuf a.s.
Maksudnya: "Tuhanku,sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan dan telah mengajarkan kepadaku sebagian takwil mimpi. (Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan muslim dan gabungkanlah aku dengan orang yang soleh."
(Yusof, 12:101)


Doa Nabi Muhammad s.a.w.
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami,berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka."
(Al-Baqarah, 2:201)



Itulah antara doa-doa para kekasih Allah,nabi-nabi yang mulia.Mereka sentiasa memohon keampunan, meminta pertolongan dan hajat serta perlindungan dari Allah taala.Kepada Allah lah segala urusan dikembalikan. Semoga kita semua juga dapat mencontohi amalan para nabi, sami'na wa ato'na!

Rasul (Muhammad) beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya (alQuran) dari Tuhannya,demikian pula orang-orang beriman. Semua beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya,kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka berkata), "Kami tidak membeza-bezakan seorang pun dari rasul-rasulNya." Dan mereka berkata, "Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami Ya Tuhan kami, dan kepadaMu tempat (kami) kembali."
[Al-Baqarah, 2:285]

Selamat beramal dalam bulan Ramadhan.

Tazkirah 16 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Membaca al-Quran adalah satu amalan yang amat digalakkan bagi seorang Islam. Ini ialah kerana al-Quran ialah kitab Hidayah dari Allah yang diturunkan bagi menjawab doa yang kita ulang-ulangkan di dalam surah al-Fatihah:

“ Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”. (surah al-Fatihah: 6)

maka di jawab oleh Allah:

“ Alif, Lam, Mim. Inilah kitab yang tiada keraguan di dalamnya merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa”. (surah al-Baqarah: 1,2)

Bukankah Puasa Ramadan diwajibkan untuk membimbing kita ke arah taqwa. Dan kitab al-Quran itu merupakan petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Al-Quran ialah petunjuk bagi orang yang bertaqwa yang mana salah satu cara mendapat darjat ketaqwaan ialah dengan berpuasa pada bulan Ramadan yang didalamnya diturunkan al-Quran. Di dalam rangkaian ayat mengenai kewajipan berpuasa, Allah berfirman:

“ Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi umat manusia, penerang kepada petunjuk dan pembeza (anatra haq dan batil).” (surah Al-Baqarah: 185)

Maka hubungan di antara petunjuk Ilahi, bacaan al-Quran, puasa dan Ramadan
menjadi kian jelas. Dalam hadis yang telah di sebut di dalam tazkirah semalam juga tertera bukti bahawa Rasulullah bertadarrus dengan Jibrail pada bulan Ramadan:

“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka adalah wajar untuk kita menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai satu budaya harian kita pada bulan Ramadan. Adalah amat digalakkan jika kita boleh mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadan. Dan alangkah baiknya jika budaya al-Quran ini boleh diteruskan pada bulan-bulan selain Ramadan.

Alangkah ruginya kita jika kita boleh menghabiskan berpuluh-puluh mukasurat suratkhabar, majalah hiburan dan buku cerita tetapi kita enggan menjamah dan membaca beberapa potong ayat al-Quran.

Walaupun kita digalakkan memperbanyakkan membaca al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan agar kita tidak hanya mementingkan banyaknya ayat yang dibaca tetapi juga mutu bacaan kita. Kita perlu menjaga adab-adab membaca al-Quran, menghormati hukum-hukum tajwid dan membaca dengan tenang dan teratur (tartil). Allah berfirman:

“ Orang-orang yang telah kami berikan al-Kitab, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya (haqqa tilawatih), mereka itu beriman kepadanya” (surah al-baqarah:121)

Dan firman-Nya lagi:

“ Dan bacalah al-Quran dengan tartil”. (surah al-Muzammil: 4)

Sebab itu, Rasulullah melarang kita daripada mengkhatamkan al-Quran kurang dari sekali dalam tujuh hari sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah bin Amr:

“ Rasullullah (saw) bersabda kepadaku: “ Bacalah al-Quran dalam masa sebulan.” Aku berkata: “ Ya Rasulullah, aku boleh berbuat lebih dari itu”. Baginda bersabda: “ Bacalah dalam tujuh hari, dan jangan kurangkan dari tempoh itu”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain terdapat larangan mengkhatamkan kurang dari tiga hari. Pokoknya, kita perlu membaca al-Quran dengan sempurna; sebaik-baiknya khatam dalam sebulan yakni satu juzuk sehari tetapi tidak terlalu berkejar-kejaran sehingga menurunkan kualiti bacaan kita.

Semoga Allah memberi kekuatan bagi kita untuk mengikuti tuntutan kita untuk berdampingan dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini.


Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tazkirah 15 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Sifat pemurah merupakan salah satu daripada sifat-sifat orang beriman dan lebih-lebih lagi oleh kerana bulan Ramadan merupakan bulan kebajikan, maka sifat pemurah telah menjadi lebih terserlah. Rasulullah (saw) yang menjadi ikutan kita telah memberikan contoh yang terbaik dalam hal ini. Kedermawanan beliau pada bulan Ramadan berlipat ganda dibanding bulan-bulan lainnya, sebagaimana kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas (r.a.) bahawa:

“Nabi (saw) adalah orang yang paling dermawan, dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadan, saat beliau ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya Al-Qur’an. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadan, lalu membacakan kepadanya Al-Qur’an. Rasulullah (saw) ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kedermawanan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Ta’ala Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu-waktu tertentu seperti bulan Ramadan. Bulan Ramadan adalah saat Allah berderma kepada para hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api Neraka, terutama pada Lailatul Qadar Allah Ta’ala melimpahkan kasih-Nya kepada para hamba-Nya yang bersifat kasih, maka barangsiapa berderma kepada para hamba Allah niscaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan.

Membantu orang-orang yang berpuasa dan berdzikir untuk senantiasa taat, agar memperoleh pahala seperti pahala mereka; sebagaimana siapa yang membekali orang yang berperang maka ia memperoleh seperti pahala orang yang berperang, dan siapa yang menanggung dengan baik keluarga orang yang berperang maka ia memperoleh pula seperti pahala orang yang berperang. Dinyatakan dalam hadits Zaid bin Khalid dari Nabi (saw) beliau bersabda:

“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala ovang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya. “(Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama merupakan sebab masuk Syurga. Dinyatakan dalam hadis Ali radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi(saw) bersabda:

“Sungguh di Syurga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. “ Maka berdirilah kepada beliau seorang Arab Badui seraya berkata: Untuk siapakah ruangan-ruangan itu wahai Rasulullah,?jawab beliau: “Untuk siapa saja yang berkata baik, member makan, selalu berpuasa dan shalat malam ketika orang-orang dalam keadaan tidur. “(Hadis Riwayat. At-Tirmidzi)

Puasa dan sedekah bila dikerjakan bersama-sama lebih dapat menghapuskan dosa-dosa dan menjauhkan daripada api Neraka Jahannam, terutama jika ditambah lagi shalat malam. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (saw) bersabda:

“Puasa itu perisai dan benteng kokoh yang melindungi seseorang daripada api Neraka”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, dari Mu’adz(ra) bahawa Rasulullah (SAW) bersabda:

“Sedekah dan shalat seseorang di tengah malam dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Kita maklum bahawa adalah sukar untuk menjaga puasa yang sempurna. Biasanya tentu terdapat kesilapan atau kekurangan. Maka sedekahlah yang bakal menampung kekurangan atau ketidak-sempurnaan ini.

Semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dan keikhlasan untuk beramal.


Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tuesday, August 24, 2010

Tazkirah 14 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Negara haram Israel ditubuhkan melalui mandat PBB pada 1947. Pada tahun 1947 juga, sebuah tanahair Islam lain turut tergadai sehingga hari ini. Jammu dan Kashmir adalah sebuah wilayah yang terletak di sempadan utara India dan Pakistan. Ia terkenal sebagai satu kawasan mempunyai kawasan semulajadi yang amat cantik dan menarik.

Semasa kemerdekaan India pada 1947, negara Pakistan ditubuhkan untuk rakyat benua kecil tersebut yang beragama Islam. Setiap wilayah yang mempunyai kerajaan sendiri ketika itu diberikan pilihan sama ada mahu bergabung dengan India atau Pakistan. Bagi wilayah yang majoriti penduduknya menganut seagama dengan pemimpinnya, itu tidak menjadi masalah. Tetapi bagi Kashmir, lebih 70% penduduknya beragama Islam manakala pemimpinnya ketika itu ialah Maharajah yang beragama Hindu. Beliau telah memilih untuk bergabung dengan India manakala majoriti penduduknya mahu bersama Pakistan. Gabenor British di India telah meminta pemilihan muktamad diadakan berdasarkan satu pungutan suara. Majlis Keselamatan PBB dalam Resolusi no 47 (1948) telah bersetuju dan dengan jelas mengarahkan supaya antara lain: “The Government of India should undertake that there will be established in Jammu and Kashmir a Plebiscite Administration to hold a plebiscite as soon as possible on the question of the accession of the State to India or Pakistan”
Maksudnya: “Kerajaan India mesti menjamin penubuhan satu pentadbiran sementara di
Jammu dan Kashmir yang akan menganjurkan pungutan suara bagi menentukan
samada penduduk Jammu dan Kashmir mahu bergabung dengan India atau
dengan Pakistan”

Masalah terbesar ialah, sehingga kini India enggan dan menafikan hak rakyat Kashmir untuk menentukan masa depan mereka. Sehingga kini, India tetap bertegas mengaku bahawa Kashmir adalah sebahagian dari negara India. Sehingga kini pungutan suara yang diputuskan oleh PBB lebih 54 tahun yang lalu masih belum dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, India telah mengukuhkan cengkaman kuku-besinya ke atas Kashmir. Pelbagai cara telah dibuat oleh pihak berkuasa India untuk menghapuskan gerakan pembebasan Kashmir. Pejuang dan keluarga telah ditangkap, dipenjara, dibunuh dan dicabuli. Kini, lebih 500,000 askar India kini menduduki Kashmir menjadikan wilayah tersebut seperti negara polis. Sehingga kini PBB meletakkan status Kashmir sebagai ‘wilayah yang dipertikaikan’; yakni PBB sendiri tidak mengiktirafnya sebagai sebahagian
daripada India. Namun, polisi ‘double standard’ PBB jelas kelihatan kerana berbeza dengan Iraq contohnya, PBB tidak pula menguat-kuasakan resolusinya sendiri.

Demikian sepintas lalu berkenaan dengan sebuah wilayah umat Islam yang dijajah, sehinggakan umatnya menjadi pelarian di tanahair sendiri. Semoga kita lebih prihatin dengan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di tempat lain.

Marilah sama-sama kita mendo’akan Allah memberi jalan keluar terbaik bagi mereka.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Monday, August 23, 2010

Tazkirah 13 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu masalah yang dihadapi oleh umat Islam kini ialah isu Palestin yang belum selesai. Kita merasa amat sedih dengan penderitaan harian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di sana. Rumah mereka diruntuhkan, anak-anak mereka di bunuh, wanita mereka dicabuli. Ini berlaku dalam tanah air kita dan mereka. Palestin adalah tanahair kita. Bumi Baitul Maqdis adalah tanah suci Islam.

Walau apa pun yang cuba disembunyikan oleh pihak zionis, Palestin adalah tanah suci Islam. Ia menjadi tanah suci Islam bukan hanya dengan isra’nya Nabi Muhammad (saw) pada tahun ke 10 kenabian. Ia menjadi bumi Islam bukan dengan penaklukannya pada zaman khalifah Umar (ra). Malah ia telah menjadi tanah air kita umat Islam sejak zaman zaman Nabi Daud (as) dan Sulaiman (as), kerana kedua-dua Nabi ini membawa agama Islam. Mereka membawa risalah tauhid dan menyeru manusia untuk tunduk dan patuh kepada Ilahi; menyerah diri atau Islam kepada Tuhan yang Maha Esa. Umat Islam kinilah yang mewarisi risalah para Nabi (as) termasuk risalah Nabi Daud (as) , Sulaiman (as) dan Muhammad (saw). Maka Palestin dan Baitul Maqdis adalah sejak asalnya tanah milik umat Islam.

Tanah ini diceroboh kini. Hanya dengan surat pendek oleh Lord Balfour pada 1917, dan mandat PBB pada 1947 negara parasit Zionis telah ditubuhkan. Pada 1922, Yahudi merupakan 11 % daripada penduduk Palestin tetapi apabila PBB menubuhkan negara Israel pada 1947 rakyat Yahudi diberikan 56% tanah Palestin. Regim haram kini merebak sehingga mereka menjajah dan menakluk sehinggakan selepas Perang Arab-Israel pertama pada 1949, mereka telah menguasai 80% dari tanah manakala 800,000 penduduk asal Palestin terpaksa menjadi pelarian.

Tetapi isunya bukan sekadar tanah-tanah yang diduduki selepas perang 1949 atau 1967. Bahkan, tanah asal Israel seperti diputuskan oleh PBB pada tahun 1947 itu pun sudah haram diduduki kerana ia dirampas dari milik kita.

Kini mereka bermaharajalela lagi. Setiap hari kita akan mendengar kematian anak-anak kita, penangkapan saudara-saudara kita, pencerobohan oleh tentera Israel ke atas rumah tangga saudara-saudara kita. Bolehkah kita berdiam diri, berpeluk tubuh melihat mereka terus menoda’i bumi tanah suci kita yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“ Tidak perlu disiapkan kenderaan untuk bepergian kecuali untuk mengunjungi tiga Masjid; Masjidil Haram, Masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjidil Aqsa” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Mungkin kita merasa kecewa; tidak dapat berbuat apa-apa. Mungkin kita putus asa kerana Amerika sentiasa berada di belakang dan membela segenap tindakan ganas Israel. Kita mungkin merasa lemah melihat bagaimana Israel yang telah membelakangkan begitu banyak resolusi PBB di biarkan lepas tanpa hukuman sedangkan negara Islam yang lain seperti Iraq ditekan habis-habisan walaupun hanya dengan satu resolusi PBB.

Namun, Allah akan memenangkan agamanya dan mewarisi bumi ini kepada orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Allah swt berfirman:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). (An- nur: 55)

Apa yang kita perlu buat ialah berusaha untuk menukar keadaan ini dengan apa juga cara yang termampu. Paling kurang kita boleh berdo’a dan memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat kita. Setidak-tidaknya kita boleh menyumbang kepada Tabung Palestin. Dan paling penting tetapi tidak terlalu sukar ialah kita menjayakan program pemboikotan. Jika terdapat alternatif, maka tidak perlulah kita berurusan atau membeli apa juga jenama produk atau perkhidmatan yang mempunyai kepentingan Amerika; sama ada yang diimport terus atau dibuat secara berlesen atau francais oleh syarikat tempatan. Paling terkehadapan dalam bab ini ialah Mcdonalds dan Starbuck Coffee yang jelas memberi sokongan dan sumbangan kepada perjuangan zionis. Syarikat lain juga mempunyai saham dengan membayar cukai kepada kerajaan Amerika. Jika kita tidak mempunyai alternatif lain kecuali barangan Amerika, maka jadikanlah ia pilihan terakhir; buy American last.

Kita tidak mahu hasil wang yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini akan dibawa pulang ke Amerika dan seterusnya disalurkan kepada rejim zionis dalam bentuk senjata dan peluru untuk meratah tubuh-tubuh kerdil anak-anak kita di Palestin.

Ya Allah! Bantulah saudara-saudara kami di Palestin dan segenap tempat. Menangkanlah mereka, ringankanlah penderitaan mereka.

Ya Allah! Musnahkanlah musuh-musuh kami dan musuh-musuhmu, hancurkanlah kekuatan musuh dan gagalkanlah perancangan jahat mereka.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Lanjutan mengenai isu Palestin boleh didapati di sini

Sunday, August 22, 2010

Tazkirah 12 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kembali kita kepada isu perpaduan umat seperti kita telah bincangkan dua malam lepas.

Ramadan mengingatkan kita bahawa Umat Islam adalah satu. Ia umpama satu badan, seperti disebut oleh Nabi saw:

“Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat-merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Saban hari media cetak dan elektronik memaparkan penderitaan umat Islam di seluruh dunia. Palestin, Kashmir, Afghanistan, Chechnya, Iraq, Pakistan dan banyak lagi tempat sentiasa mengalirkan darah Muslimin; rakan saudara seagama dengan kita. Tidak putus-putus kita didedahkan dengan penipuan, kezaliman dan penindasan yang dikenakan ke atas saudara-saudara kita. Soalannya.. adakah kita seumpama badan tersebut yang turut merasa demam, tidak dapat tidur kerana sebahagian dari anggota badan kita sedang menderita kesakitan.

Sebahagian mereka tidak dapat merasa aman seperti yang kita rasai. Sebahagian mereka tidak mampu menikmati sesuap makanan dalam sehari. Sebahagian tidak mempunyai bekalan air untuk keperluan diri. Sebahagian tidak mempunyai pakaian bagi menutup aurat dengan sempurna. Anak-anak kecil kehilangan ayah, ibu kehilangan anak, keluarga kehilangan tempat perlindungan.. senarai penderitaan mereka berpanjangan.. Mereka juga manusia seperti kita. Mereka juga Muslim seperti kita. Dalam hadis yang masyhur Nabi (saw) bersabda:

“Tidak beriman salah seorang darimu, hingga ia mencintai untuk saudaranya seperti ia mencintai untuk dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sewajarnyalah, dalam bulan solidariti umat ini, kita luangkan masa untuk menilai sumbangan kita kepada mengurangkan penderitaan saudara-saudara kita ini. Untuk sumbangan kewangan, peluang sebenarnya terbuka kerana pelbagai pertubuhan seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM), Aqsa Syarif, Majlis Syura Muslimun dan MERCY Malaysia ada menganjurkan Tabung Khas bagi meringankan penderitaan mereka. Setidak-tidaknya, gunakanlah kesempatan keemasan yang ada dalam saat-saat keberkatan bulan Ramadan untuk mendoakan kesejahteraan dan kemenangan bagi saudara-saudara kita.

Semoga kita termasuk dalam kumpulan yang tersebut oleh sabda Rasulullah (saw):

"Apabila seorang berdoa bagi saudaranya tanpa pengetahuannya, berkatalah para Malaikat: Bagi kamu seperti itu juga." (Hadis Riwayat Muslim dan Termizi)

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Saturday, August 21, 2010

Tazkirah 11 Ramadhan (second phase)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Kita kini masuk ke malam ke 11 Ramadan. Ini bermakna, kita telah berada di fasa kedua Ramadan. Kita telah meninggalkan fasa “rahmat” manakala kita kini memasuki fasa “maghfirah”. Sepuluh hari yang berlalu, kita berharap rahmah, belas kasihan dari Allah. Di hari mendatang, pintu maghfirah Allah terbuka luas menunggu kepulangan hamba-hamba-Nya.

Kita perlu menilai semula, review pencapaian kita. Untuk itu, kita boleh mengambil iktibar dari sebuah kisah yang dinukilkan oleh Sheikh Said Hawa mengenai Al-Hasan bin Abul Hasan al-Bishri. Bahawa beliau ini pada suatu ketika pada bulan Ramadan berjalan melalui satu kelompok manusia yang sedang tertawa sambil bersenda gurau, kemudian al-Hasan berkata:

“Sesungguhnya Allah azzawajalla menjadikan Ramadan sebagai bahan ujian yang tersembunyi bagi seluruh makhluk-Nya. Semua orang sama berlumbalumba, atau dahulu-mendahului untuk berbuat ketaatan kepada Allah (SWT). Kemudian ada golongan yang dapat mendahului golongan lain, merekalah orang-orang yang beruntung dan berjaya. Sedang golongan lain ada yang tertinggal di belakang dan mereka itulah orang-orang yang menyesal dan merasa mendapat kerugian yang besar. Oleh sebab itu adalah heran seheran-herannya ketika saya melihat ada orang yang tertawa, bermain-main pada hari seperti sekarang ini dalam bulan Ramadan, padahal di saat ini adalah hari sebahagian manusia menjadi beruntung dan berjaya , sedangkan ada sebahagian manusia lainnya yang merasa rugi dan menyesal. Yang berbahagia ialah orang-orang yang mendahului kawan-kawannya untuk mentaati Dzat Yang Maha Pencipta, dan yang merugi ialah orang yang hanya gemar melakukan kebatilan dan kesia-siaan.”

Setelah melalui sepertiga Ramadahan, eloklah kita berhenti sejenak, menilai prestasi kita dalam sepuluh hari yang telah berlalu. Antara soalan yang boleh kita tanyakan diri kita ialah:

1. Sudahkah kita memanfaatkan sebaik-baiknya kehadiran bulan Ramadan yang penuh berkat ini?


2. Sudahkah kita cuba sedaya upaya mencantikkan puasa kita?


3. Sudahkan kita memastikan anak-isteri-suami dan seluruh keluarga kita sama-sama menikmati keberkatan Ramadan ini?


4. Sudahkah kita mencapai tahap minimum pembacaan al-Quran setiap hari? Jika standard kita ialah satu juzuk sehari, maka kini sepatutnya kita telah melebihi sepuluh juzuk.

5. Sudahkan kita memastikan sunat-sunat puasa seperti bersahur disempurnakan?


6. Sudahkah kita memastikan kita tetap istiqamah dengan solat tarawih dan berazam untuk meneruskannya ke hujung Ramadan?


7. Sejauh manakah Ramadan kita tahun ini lebih baik dari Ramadan yang lepas?

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Friday, August 20, 2010

Tazkirah 10 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ramadan yang penuh keberkatan ini disambut di seluruh dunia secara serentak. Oleh kerana kedudukan negara-negara kita berlainan dari sudut geografi, kita tidak dapat menyambutkan pada satu ketika yang sama. tetapi semuanya menyambut pada satu tarikh yang sama yakni kemunculan anak bulan Ramadan di tempat masing-masing.

Sesungguhnya Ramadan membayangkan kesejagatan dan perpaduan Islam. Pada setiap ketika, setiap detik dalam 24jam sehari, kita akan mendapati ada saja umat Islam yang sedang berpuasa, yang sedang berbuka, yang sedang bertarawih, membaca al-Quran, bersahur dan pelbagai aktiviti lain merai’kan Ramadan mubarak ini.

Kita dapati umat Islam tediri dari pelbagai jenis warna kulit, bangsa, kumpulan etnik, bahasa dan kebudayaan. Namun dengan sambutan Ramadan yang serentak; mereka bersatu dalam kepelbagaian ini. Jelas terserlah ruh ayat Allah:

Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah al-Anbiyaa’:107)

Kesatuan dalam kepelbagaian (unity in diversity) ini adalah ciri penting Islam. Kita berbeza bukan sekadar budaya dan warna kulit tetapi kadangkala sehingga dalam beberapa hal cara beribadah. Namun kita tetap bersatu di atas perkara pokok dan prinsip.

Misalnya tiada umat Islam yang mempertikaikan kewajipan puasa pada bulan Ramadan, tiada yang tidak bersetuju bahawa awal puasa ialah dengan melihat bulan, tiada yang membangkang jika dikatakan yang sakit dan dalam perjalanan dibenarkan berbuka dan tiada yang tidak mengatakan solat malam pada bulan Ramadan itu amat digalakkan. Ini adalah perkara-perkara pokok dan prinsip dan tidak ada pertikaian mengenainya.

Namun di kalangan kita mungkin berbeza dari segi cara menentukan “anak bulan telah kelihatan” atau samada “orang yang dalam perjalanan yang mudah perlu berpuasa atau tidak” dan samada “ solat tarawih itu 20 rakaat atau 8” dan seumpamanya. Perbezaan pendapat yang kecil sedemikian tidak semestinya tidak menunjukkan ketidaksatuan; asalkan semuanya berdasarkan hujah dan nas yang kuat.

Perbezaan pendapat sedemikian juga tidak semestinya menyebabkan kita berbalah; berkelahi atau rendah-merendahkan. Para sahabat pernah berbeza pendapat dalam bab puasa dalam perjalanan. Lihat sikap mereka.

Anas bin Malik berkata:

"Kami sedang bermusafir bersama dengan Rasulullah (saw) semasa Ramadan dan di kalangan kami ada yang berpuasa, ada yang tidak berpuasa. Golongan yang berpuasa tidak menyalahkan orang yang tidak berpuasa dan golongan yang tidak berpuasa tidak menyalahkan orang yang berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari and Muslim)

Itulah sikap sahabat-sahabat Nabi (saw) yang harus kita contohi. Tidak ada sebab untuk kita merendah-rendahkan amal perbuatan orang lain atau merasa diri kita lebih besar, lebih hebat, lebih banyak amal, lebih wara’, lebih tinggi darjat taqwa berbanding dengan mereka yang mempunyai kelainan dari sudut perkara-perkara khilafiyah sebegini. Ingatlah pesanan Allah:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum men golok-olokkan kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang men golok-olokkan) (Surah al-Hujurat: 11)

Berhati-hatilah dengan jarum-jarum halus yang bakal merosakkan amal kita. Jangan dilayan perasaan bahawa kita lebih baik dari mereka kerana kita melaksanakan sesuatu amal yang lebih lebih banyak, lebih kerap, lebih sempurna sambil kita memandang rendah orang lain. Boleh jadi juga dalam keghairahan mencari yang lebih ‘benar’ dan lebih ‘banyak’ kita terpedaya dengan tipu-daya hawa nafsu kita yang memesongkan.

Ingatlah, sebaik sahaja kita merasa diri kita lebih taqwa dari orang lain, di ketika itu bukanlah layak lagi kita digelar bertaqwa!

sumber: perkongsian oleh brother akram

Thursday, August 19, 2010

Tazkirah 9 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Salah satu roh yang penting dalam puasa ialah mewujudkan rasa kebersamaan dengan orang yang kurang bernasib baik. Puasa membolehkan kita yang berkemampuan (secara sukarela) merasa apa yang dirasai (secara terpaksa) oleh golongan yang tidak berkemampuan menikmati makanan dan minuman yang mencukupi setiap hari. Bayangkan, kita menahan diri secara sukarela sedangkan peti-sejuk kita dipenuhi makanan, kabinet dapur kita sendat dengan pelbagai bahan, tetapi mereka yang kurang bernasib baik terpaksa berlapar kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membeli walaupun makanan yang asas seperti beras dan minyak. Kita masih boleh bergembira kerana kita tahu, lapar kita hanya seketika, sementara menunggu berbuka tetapi bagi mereka entah malam ini, entah esok belum pasti ada cukup makanan untuk seisi keluarga.

Memberi makan kepada orang yang lapar adalah tugas mulia.

Dari Abdullah bin Amr ra ia berkata, ketika salah seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah (saw). "Ya Rasulullah amalan apakah di dalam Islam yang baik". Rasulullah saw menjawab: "Memberi makan (orang yang lapar) dan memberi salam kepada orang yang kalian kenal maupun tidak kalian kenal". (Hadis Riwayat Bukhari).

Jangan kita anggap bahawa golongan yang sebegini hanya wujud di Palestin, Kashmir atau di Somalia. Golongan yang kurang bernasib baik sedemikian mungkin wujud di kawasan atau daerah kita. Sebaik-baiknya kita cuba dapatkan maklumat keluarga atau orang perseorangan yang kurang berkemampuan serta memerlukan perhatian di kejiranan atau dalam kariah masjid/surau kita dan sampaikan kepada Jawatankuasa surau/masjid ataupun Islamic Society untuk diambil tindakan sewajarnya.

Dua hadis berikut ini ini boleh menjadi motivasi kita:

“ Tidak beriman kepadaku siapa yang tidur kenyang padahal jirannya lapar di sampingnya sedangkan dia tahu jirannya lapar”. (Hadis Riwayat Tabarani)

Dalam hadis lain, Rasulullah (saw) bersabda:

“ Apabila anda memasak lauk, perbanyakkanlah kuahnya, kemudian lihatlah ahli jiranmu dan berikanlah kepada mereka sebahagian darinya dengan baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Walaupun orang yang memerlukan mungkin bukan jiran sebelah rumah kita tetapi mereka mungkin jiran sekariah, sedaerah, senegeri, senegara dengan kita.

Marilah sama-sama kita merealisasikan salah satu ruh puasa ini dengan menyumbang sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan kepada kita untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Pelbagai cara boleh dilakukan; banyak peluang kini dibuka. Pokoknya tepuk dada.. tanyalah iman kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Wednesday, August 18, 2010

Tazkirah 8 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di dalam sebuah hadis, Nabi (saw) bersabda:

Tidaklah berpuasa itu dari makan-minum semata, tetapi berpuasa itu adalah dari perbuatan kosong dan perkataan keji. Maka jika kau dicaci orang atau diperbodohnya, hendaklah kamu mengatakan: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!” (Hadis Riwayat Ibnu khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Jelas kepada kita bahawa puasa yang berkualiti bukan sekadar menahan diri dari makan-minum. Tetapi kita perlu juga menahan diri dari perbuatan kosong (lagha). Cuba bayangkan berapa banyak perbuatan lagha yang kita buat hari ini; dari berbual kosong sehingga kepada bermain computer games, melayari facebook, membaca blog atau menonton television. Sebaliknya kita perlu menyibukkan harian kita dengan kerja-kerja yang produktif; untuk dunia dan akhirat kita. Jika mempunyai luang dari waktu bekerja mencari nafkah kita, sibukkan diri dengan membaca al-Quran, terjemahannya atau berzikir atau i’tikaf atau menghadiri majlis ilmu atau membaca buku-buku agama dan seumpamanya.

Satu lagi adab penting orang berpuasa ialah mengawal lidah dan perasaan. Orang yang berpuasa adalah seorang yang tenang, sabar dan berhati-hati dalam percakapannya. Puasa itulah membolehkan beliau untuk mengawal diri dari memberi tindak balas negatif apabila diuja dengan perkara-perkara negatif oleh orang lain. Abu Hurairah (ra) berkata bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

Dan puasa itu merupakan perisai (junnah), maka janganlah seseorang yang berpuasa itu berkata keji dan meninggikan suara atau mencaci maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang atau diajaknya berkelahi hendaklah dijawabnya: “saya ini berpuasa, saya ini berpuasa!”. (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Annisa’i)

Begitu kuat tuntutan kita menjaga lidah ini ditekankan lagi dalam sebuah hadis lain pula di mana Nabi (saw) bersabda:

Sesiapa yang tidak menghentikan perkataan-perkataan dusta dan melakukan kedustaan itu, maka Allah tidak merasa perlu ia meninggalkan makan minumnya. (Hadis Riwayat Jama’ah kecuali Muslim)

Marilah kita berusaha dan berdo’a agar Allah swt mempermudahkan kita menjalani ibadah puasa kita dengan paling sempurna. Semoga puasa kita hari ini lebih baik dari semalam, dan tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Tuesday, August 17, 2010

Tazkirah 7 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Monday, August 16, 2010

Tazkirah 6 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang berpuasa nanti akan mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki. Selain itu orang yang berpuasa juga dijanjikan kemapunan bagi dosa yang lalu. Dari Abu Hurairahbahawa Rasulullah (saw) telah bersabda:

“ Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah(ihtisab), akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

Kalau dilihat bentuk hadis ini, ianya seakan sama dengan hadis mengenai keutamaan solat tarawih (lihat Renungan Ramadan 4). Di dalam hadis ini bukan sahaja disebutkan janji keampunan dosa bagi orang yang berpuasa tetapi juga syarat untuk mendapat anugerah ini iaitu berpuasa dengan “imaanan wah tisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana “ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Puasa kita bukan kerana budaya, bukan kerana adat, bukan kerana manusia, bukan kerana kesihatan, bukan kerana ketiadaan makanan. Tetapi kerana keazaman kita memenuhi tuntutan iman dan benar-benar mengharapkan keredhaan Allah.

Niat dan keazaman yang sedemikian akan menyebabkan kita tekun menjaga syarat-syarat dan adab-adab dalam puasa kita; bagi melayakkan kita mendapat keampunan bagi dosa-dosa kita yang lalu. Abu Said al-Khudri berkata bahawa Nabi (saw) pernah bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dan mengetahui batas-batasnya
dan ia menjaga diri dari segala apa yang patut dijaga, dihapuskanlah dosanya yang sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Saudara-saudari yang budiman,

Jelas kepada kita bahawa hanya puasa yang terjaga dari batas-batasnya sahaja yang akan diterima dan layak untuk menerima keistimewaan yang dijanjikan. Sebab itu Nabi (saw) memberi kita peringatan, sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memperolehi apa-apa dari puasa dan solat tarawih mereka. Abu Hurairah berkata Nabi (saw) bersabda:

“Berapa banyak orang yang berpuasa, tetapi tiada yang diperolehinya kecuali rasa lapar dan berapa banyak orang bersembahyang malam, tetapi tiada yang ia perolehi selain dari rasa mengantuk” (Hadis Riwayat an-Nisai dan Ibn Majah)

Yang dimaksudkan oleh Nabi (saw) ialah orang yang berpuasa hanya dengan berlapar tetapi tidak kerana mencari keredhaan Allah serta tidak kisah dalam menjaga adab-adab dan batas-batasnya yang lain. Semoga Allah menjauhi kita dari termasuk ke dalam golongan ini; golongan orang yang berlapar dahaga tetapi tidak memperolehi apa-apa; puasa tidak diterima; dosa tetap tidak berampun.

Semoga Allah swt menerima puasa kita, mengampunkan dosa-dosa kita dan membantu kita ke arah meningkatkan mutu puasa kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

Sunday, August 15, 2010

Tazkirah 5 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah. Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:

“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat pada waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau larang ia tidur pada waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”. Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangka hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.

Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan
memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.

Sumber: Perkongsian oleh brother Akram

Saturday, August 14, 2010

Tazkirah 4 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara perkara yang menjadi syi’ar dalam bulan Ramadan ialah solat sunat tarawih yang kita hadiri pada malam ini. Solat ini sangat besar pahalanya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah r.a. katanya:

“ Rasulullah (saw) menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan, tetapi tidak mewajibkannya. Beliau bersabda: “Barangsiapa yang bangun pada malam bulan Ramadan kerana iman dan me gharapkan keredhaan Allah, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu.”

Cukuplah bagi kita hadis Nabi (saw) ini untuk menjadi perangsang kepada kita untuk solat tarawih. Baginda menganjurkannya sambil menjanjikan keampunan dari dosa-dosa yang telah lalu.

Saudara-saudari yang budiman,

Kita semua orang yang berdosa.. maka marilah kita merebut peluang untuk mendapatkan keampunan bagi dosa-dosa kita.

Satu perkara yang harus diperhatikan ialah syarat yang diletakkan oleh Nabi (saw) untuk mendapat pengampunan dosa yang telah lalu ialah kita bangun bersolat dengan “imaanan wa ihtisaaban” yang diterjemahkan sebagai kerana“ iman dan mengharapkan keredhaan Allah”. Maknanya kita memastikan ketulusan iman, keikhlasan niat, penyerahan yang redha kepada Allah. Ia bermakna kita perlu berusaha meningkatkan kualiti tarawih kita.

Satu perkara yang sering menjadi bahan perselisihan mengenai tarawih ialah bilangan rakaatnya. Perbincangan ini akan tidak berkesudahan kerana masing-masing mempunyai kekuatan hujahnya masing-masing. Sikap terbaik dalam hal ini ialah kita berlapang dada dengan semua perbezaan pendapat yang wujud ini tanpa memperkecilkan atau meremehkan salah satu pendapat yang lain. Jika kita berpegang dengan 8 rakaat, jangalah kita menyalahkan atau merendahkan orang yang melaksanakan 20 rakaat. Begitu juga, jika kita berpegang kepada 20 rakaat, janganlah kita menyalahkan atau meremehkan orang yang bersolat 8 rakaat. Allah maha Mengetahui isi hati, niat dan usaha manusia dan akan membalas sewajarnya.

Saudara-saudari yang budiman,

Apa yang perlu kita risaukan ialah, pertama kita bersolat tarawih. Janganlah kerana tidak bersetuju dengan bilangan rakaat, kita langsung tidak mahu solat tarawih. Kedua, bagaimana kualiti tarawih tersebut; tidak kira sama ada ianya 20 atau 8 rakaat. Peliharalah niat kita sentiasa. Pokoknya, solat tarawih yang mempunyai kualiti “imaanan wa ihtisaaban” bukan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga tetapi dengan perancangan yang sedar dan pemilihan yang teliti. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan memasukkan kita di kalangan orang yang diredhai-Nya.

Sumber: Perkongsian oleh brother Akram

Friday, August 13, 2010

Tazkirah 3 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah bersahur. Bersabda Nabi (saw):

“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat kepada orang-orang yang bersahur”. (Hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para saha bat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling bersegera berbukanya dan paling lambat bersahurnya” (Hadis Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya. Pertama, ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat. Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a. Ambillah peluang bangunnya kita pada waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:

“ Bahawa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang. Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat, dan tidak pernah lagi pada waktu hari telah mulai terang.” ( Hadis Riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi (saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi, melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat, peluang untuk berdo’a di saat yangmustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat pula bersolat sunat yangbegitu besar ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.

Sumber: Perkongsian oleh brother Akram

Tazkirah 2 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Allah swt berfirman, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini merupakan ayat yang menitahkan fardhu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan dari ibadah puasa kita “agar kamu bertaqwa”. Darjah taqwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba. Orang yang bertaqwa dijanjikan syurga oleh Allah:

“ Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya” (Surah al-Qalam:34)

“ Dan bersegeralah kepada keampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah ali-Imran: 133)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Orang-orang yang bertaqwa akan memperolehi hidayah yang Allah turunkan di dalam al-Quran:

“Alif, Lam, Mim. Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan di dalamnya petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.“ (Surah al-Baqarah: 1-2)

Orang-orang yang bertaqwa bukan sahaja mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan Allah di dunia lagi. Firman Allah bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangkasangka.” (Surah at-Talaq: 2-3)

Orang-orang bertaqwa merupakan orang yang paling mulia di sisi Allah:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa dari kalangan kamu” (Surah al-Hujurat: 13)

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Oleh itu, taqwa adalah darjat yang begitu tinggi, yang melayakkan seseorang menjadi orang paling mulia, dijanjikan syurga, diberikan hidayah dan keampunan serta diberikan bantuan sejak di dunia lagi. Pasti untuk memperolehinya agak sukar. Namun kini peluangnya terbuka luas dengan tawaran istimewa dari Allah SWT.

Janji Allah, jika kita berpuasa dengan sebenar puasa, pasti kita kan mencapai darjat taqwa. Marilah sama-sama kita berdoa dan berusaha untuk memastikan agar puasa kita Ramadan ini mampu melonjakkan kita ke darjat taqwa. Amin.

Sumber: perkongsian oleh brother Akram

Tazkirah 1 Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, kita dipanjangkan usia untuk berada di awal Ramadan. Inilah yang sering kita doakan:

“ Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Kita juga bersyukur kerana malam ini kita dapat bersama dalam majlis solat terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan pada bulan Ramadan. Semoga Allah memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadan
bermaksud:

“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Pada bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikanny a sesungguhnya dia rugi.” (Hadis Riwayat Ahmad dan An-Nasai)

Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap
menjelangnya Ramadan.

Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat pada bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.

Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya.

Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita? Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:

“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia rugi”.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Maka pada malam ini, marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan pada bulan Ramadan. Pada malam ini, kita tingkatkan komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang janji kita untuk berlumba memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk beramal dan beribadah. Pada malam ini kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.

Sumber: Perkongsian oleh brother Akram..

Sunday, August 8, 2010

Demi Kasih Ramadhan

Demi Kasih Ramadhan; Tamu agung hadir lagi membisik rahmat dan maghfirah.

P E R S E D IAAN MENGHADAPI RAMADAN

"Matahati yang merindui Ramadan akan dapat menciumi bau bulan Ramadan seperti Yaaqob telah terbau baju anaknya Yusuf". (Shaikh Hussain Yaqoob)

Segelintir cerdik pandai mengatakan bulan Rajab ialah bulan dimana benih-benih mula ditanam. Sya’ban adalah bulan dimana benih-benih itu disirami air dan Ramadan ialah bulan dimana hasil-hasil buah-buahan dipetik. Marilah kita memperbanyakkan amalan-amalan kita sempena menyambut kedatangan Ramadhan Kareem.


Beberapa tips sebagai latihan awal untuk menghadapi Ramadhan,

1) Memperbaharui taubat kita berlatih untuk cuba melakukan taubat kita supaya sempurna, taubat adalah amalan seumur hidup. Setiap orang perlu bertaubat kerana hati akan menjadi seperti kurap/ tompok hitam akibat daripada dosa-dosa kita. Maka, perlulah kita membersihkan hati dengan selalu beristighfar dan mohon keampunan pada Yang Esa.

2) Tingkatkan tahap motivasi kita - ini boleh dilakukan dengan meningkatkan ibadah kita ketika di bulan Rajab dan Sya’ban lagi. Antaranya termasuklah: mempertingkatkan solat nawafil (solat sunat) selepas atau sebelum solat fardhu yang 5 waktu. Ini harus dilakukan jika ia belum dipraktikkan lagi. Seelok-eloknya, kita harus memperbanyakkan solat nawafil seperti yang disarankan di dalam sunnah (12 rakaat iaitu 2 sebelum Subuh, 4 sebelum Zohor, 2 selepas Zohor, 2 selepas Maghrib, 2 selepas Isya’). Jika seseorang itu tidak pernah melakukan solat sunat Dhuha, maka eloklah dilakukan. Digalakkan juga melakukan Qiamullail, mulai berpuasa sunat dari bulan Sya’ban kemudian membaca Al-Quran selepas solat subuh.

3) Latihan diri – Pelihara deria kita yakni: penglihatan, pendengaran dan juga lidah agar kita akan sentiasa takut dan mengingati Allah. Dengan cara begini, dapat menyucikan jiwa seseorang. Ingat! Apa yang kita lakukan akan membersihkan hati/jiwa kita.
Hadith yang diriwayat oleh ‘Ubaadah ibn as-Saamit, Rasulullah (SAW) berkata:

"Ramadan sudah tiba, bulan barakah, Allah menyelubungi kita dengan RahmahNya, Dia memadamkan dosa-dosa, Dia memerhatikan kita berlumba untuk kebaikan, Dia bermegah mengenai kita kepada malaikatNya. Oleh itu, tunjukkan kepada Allah yang terbaik, sesungguhnya yang bermuram adalah yang dihalang dari mendapat rahmah Allah."
(HR Tabrani- Saheeh)

Sumber: Newsletter Majlis Syura Muslimun Sheffield- Nur Ramadhan (Issue 1; August 2010)