Wahyu suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada bulan Ramadan di Gua Hira’ merupakan titik tolak yang penting dalam sejarah umat manusia. Wahyu yang bermula dengan menyuruh manusia membaca, “Iqra’ “ mempunyai makna sangat yang mendalam.
Sepanjang 23 tahun perhubungan langsung tersebut, Allah telah menurunkan al-Quran secara beransur-ansur (munajjaman). Firman Allah:
“Kami (Allah) turunkan al-Quran itu terpisah-pisah supaya engkau bacakan kepada manusia dengan perlahan-lahan dan kami turunkannya sedikit demi sedikit.” (Surah
al-Isra’: ayat 106)
Di sisi Allah, faktor atau dimensi masa tidak mempunyai apa-apa makna kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Meliputi. Namun, bagi kita makhluknya yang kerdil, tempoh masa tersebut begitu penting. Sepanjang tempoh tersebutlah kita merasa begitu istimewa kerana kita mempunyai saluran yang langsung kepada/daripada Allah melalui Rasul-Nya.
Sebelum peristiwa malam tersebut, dunia tenggelam dalam kegelapan. Tamadun Yunani, Rom dan Parsi berada di ambang keruntuhan. Tamaddun Mesir dan Mesopotamia hanya tinggal kesan sejarah. Tamadun China dan India juga sedang berada di jurang kemusnahan.
Peristiwa malam tersebut merubah sejarah umat manusia. Tiba-tiba Allah memberikan cahaya kepada alam semesta, memilih Nabi-Nya dari kalangan bangsa Arab.
Orang Arab yang asalnya tidak bertamaddun, menyembah berhala, menanam anak perempuan hidup-hidup, kaki judi, perempuan dan arak. Bertenung nasib dan menindas yang lemah adalah budaya seharian mereka. Tetapi setelah mereka menerima siraman cahaya ayat-ayat yang diturunkan sedikit demi sedikit, mereka berubah menjadi orang yang paling mulia, paling bertamaddun sehingga menjadi pemimpin empayar yang meliputi dua pertiga dunia.
Bermula dari pengisytiharan “Iqra “ oleh Jibrail pada malam yang penuh berkat tersebut, sejarah manusia berubah wajah. Bahkan, banyak kemajuan kini dalam pelbagai bidang sains, teknologi, geografi, matematik dan seumpamanya boleh dikesan sebagai bersumber daripada usaha-usaha awal umat Islam yang digerakkan oleh wahyu pertama, ‘Iqra’.
“Iqra’ “ yang diturunkan di malam Lailatul Qadr telah menggerakkan mereka, memberi nafas baru kepada mereka, memberi semangat waja kepada mereka, memacu mereka menjadi pemimpin dunia.
Marilah kita mengambil semangat dari gugahan ‘Iqra’ “ ini dengan kita memacu diri kita ke hadapan, menjalankan titah perintah-Nya dan membela agamanya agar kita dapat mengembalikan tamadunnya yang gemilang.
Di mana kita hendak bermula?
Kita boleh mulakan dengan diri kita. Marilah kita sama-sama membulatkan tekad dan azam untuk membaca al-Quran,Wahyu Ilahi ini setiap hari samada di dalam atau di luar bulan Ramadan. Kita juga akan berusaha memahami kalimah Allah ini melalui terjemahan, tafsir atau kuliah dan majlis Ilmu serta berusaha beramal dan menghayatinya. Untuk mendapatkan kesan terbaik dari bacaan al-Quran kita, kita ikutilah saranan yang telah diberikan di dalam Tazkirah 17 Ramadan 1431. Semoga Allah merahmati kita.
Sumber: perkongsian oleh brother akram
Inspired !
ReplyDelete"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka...”
[Ar-Ra'du, 13:11]