Perkara yang menukar arus perjalanan sejarah sering berlaku di dalam bulan Ramadan. Seperti yang disebutkan dalam trazkirah yang lalu, peristiwa turunnya al-Quran begitu bererti kepada sejarah umat manusia. Setelah al-Quran diturunkan, berlaku komunikasi secara langsung dari Allah, Rasulullah (saw) terus giat berusaha berdakwah mengajak manusia kembali mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Baginda berjaya mendapat sokongan beberapa individu tetapi mendapat tentangan hebat dari seluruh kepemimpinan Makkah. Lalu Allah memerintahkan Nabi(saw) berhijrah ke Yathrib dan menjadi pemimpin bagi masyarakat Madinah.
Puak anti-Islam Quraish di Makkah tidak berdiam diri. Mereka tetap berusaha menghancurkan gerakan dakwah Nabi (saw). Pelbagai tektik dan cara digunakan sehingga akhirnya terjadilah Ghazwah (Perang) Badar. Ghazwah Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah merupakan satu lagi titik tolak yang penting dalam sejarah umat Islam, bahkan sejarah umat manusia. Pada saat itu, segerombolan manusia Muslimin bersama Nabi mereka; satu-satunya kumpulan manusia di dunia yang menyembah Allah yang satu akan berhadapan dengan tentera Quraish yang anti Islam, anti Tauhid, anti penyembahan kepada Allah semata-mata. Ianya merupakan pertembungan Iman melawan kekufuran, Islam melawan jahiliyah, tauhid melawan syirik, perhambaan kepda Allah melawan perhambaan kepada selain Allah. Ini merupakan saat dan ketika yang amat genting. Ditambah pula dengan bilangan dan keadaan kelengkapan yang tampak tidak saksama. Quraish dengan 1000 orang tentera; 600 daripadanya berbaju besi, serta 100 ekor kuda dan beratus ekor unta. Sementelahan itu, 313 orang tentera Muslimin hanya mempunyai beberapa ekor kuda dan kira-kira 70 ekor unta. Mereka terpaksa bergilir-gilir untuk menaiki haiwan-haiwan
kenderaan tersebut.
Gentingnya saat itu boleh dilihat daripada do’a Nabi (saw):
Ya Allah! Inilah tentera Quraish yang datang dengan penuh kesombongan untuk menghalang hamba-Mu daripada menyembah-Mu dan mereka mendustakan Nabi-Mu. Ya Allah, berikanlah pertolongan yang Kau janjikan. Ya Allah! Jika bilangan kumpulan yang kecil ini musnah pada hari ini, maka tiadalah lagi manusia yang bakal menyembah-Mu!”
Di dalam Surah al-Baqarah, ketika menceritakan kisah silam mengenai tentera Thalut mengalahkan tentera Jalut, Allah mengingatkan kita bahawa kekuatan material tidak semestinya menjamin kemenangan. Kumpulan yang kecil tidak semestinya kalah:
Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah berkata:
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar". (surah al-Baqarah: 249)
Kisah yang terjadi di zaman Thalut iaitu pada zaman Nabi Daud (as) muda remaja itu berulang di medan pertempuran Badar. Kumpulan Muslimin memusnahkan tentera Quraish yang lebih besar beserta pelbagai kelengkapan. 70 orang termasuk pembesar Quraish terbunuh, 70 lagi ditawan sementara Muslimin hanya kehilangan 22 orang yang gugur sebagai antara syuhada’ pertama.
Allah yang Maha Kaya, Maha Perkasa memperkenankan do’a Nabi-Nya dan menerima pengorbanan dan penyerahan total tenterra Muslimin dan member kemenangan kepada mereka.
Marilah kita menghargai jasa dan pengorbanan Tentera Muslimin di Badar yang melalui mereka Allah telah memenangkan agama-Nya dalam pertempuran yang paling genting, paling decisive dalam sejarah Islam. Melalui mereka, dengan izin Allah, kesinambungan gerakan dakwah Nabi dapat berterusan sehingga kita kini dapat menikmati nikmat cahaya hidayah-Nya. Sempena mengingati mereka pada bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita mencontohi kegigihan dan kesungguhan serta pengorbanan mereka.
Sumber: perkongsian oleh brother akram
jzkk :)
ReplyDelete